Isu Rumah Hijau, jangan main politik – Hon Wai

GEORGE TOWN – Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai, membidas tindakan sesetengah pihak yang cuba memainkan agenda politik berhubung isu penempatan semula penduduk di Rumah Hijau, Mak Mandin, Seberang Perai Utara (SPU) baru-baru ini.

Hon Wai berkata, isu tersebut (penempatan semula) telah lama berlanjutan sejak Kerajaan Negeri Barisan Nasional (BN) menandatangani perjanjian penswastaan bagi membangunkan sebidang tanah di sini pada 24 Disember 2004 lalu.

Katanya, menurut perjanjian tersebut, pemaju akan membina satu blok rumah pangsa kos rendah dengan jumlah unit 304 di Ampang Jajar bagi membolehkan 288 keluarga terbabit berpindah.

“Rumah pangsa kos rendah di Ampang Jajar telah siap dibina pada Oktober 2009, di mana lebih 70 peratus penduduk telah berpindah ke rumah tersebut.

“Baki 64 buah rumah (di Mak Mandin) lagi enggan berpindah dan enggan menerima tawaran yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri terdahulu.

“Oleh demikian, apabila kita (Kerajaan Negeri kini) mengambil alih tampuk pentadbiran, kita telah mengeluarkan dokumen penswastaan yang telah ditandatangani oleh Kerajaan Negeri BN dari Akta Rahsia Rasmi untuk disemak semula,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Turut sama, Exco Kerja Raya, Utiliti (Tenaga, Air, Telekom) dan Pengangkutan (Udara, Air, Kereta Api), Lim Hock Seng dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Tambah Hon Wai yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, perjanjian yang ditandatangani Kerajaan Negeri BN dahulu bersama-sama pihak pemaju dilakukan tanpa pengetahuan penduduk kerana dirahsiakan di bawah Akta Rahsia Rasmi.

“Perjanjian tersebut telah menetapkan had siling RM25,000 untuk memiliki unit rumah di Ampang Jajar dan penduduk perlu menambah baki RM17,000 lagi bagi membolehkan mereka dipindah masuk.

“Tetapi, Kerajaan Negeri kini memberi tawaran baharu setelah meneliti semula dokumen perjanjian Kerajaan Negeri BN terdahulu, iaitu memberi satu unit rumah sebagai ganti rumah lama tanpa melibatkan apa-apa kos kewangan lain.

“Hentikan main isu politik tanpa mengetahui keseluruhan cerita. Kerajaan Negeri kini cuba memberi penyelesaian terbaik untuk semua pihak,” bidasnya yang turut mendedahkan surat rasmi yang dikirimnya kepada Menteri Perumahan terdahulu semasa beliau menjawat jawatan Exco Perumahan tentang isu Rumah Hijau di sini.

Dalam pada itu, Hock Seng yang juga ADUN Bagan Jermal memberitahu, Kerajaan Negeri kini juga telah memberikan sejumlah RM2,000 kepada setiap keluarga yang menerima tawaran kediaman alternatif.

“RM1,000 untuk kos pemindahan dan RM1,000 lagi bagi membolehkan mereka memasang geriji pintu dan tetingkap di rumah baru masing-masing di Ampang Jajar, semua pemberian dan tawaran ini adalah demi kepentingan rakyat,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Hock Seng memberitahu, dari 288 keluarga terlibat, 262 keluarga adalah layak mendapat tawaran 1:1 (satu unit rumah diganti dengan satu unit rumah, tanpa melibatkan apa-apa kos kewangan).

“Manakala 19 keluarga lain memilih untuk menerima pampasan tunai RM25,000 (seperti perjanjian terdahulu), baki tujuh keluarga lagi, mereka menyewa di bawah Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Walau bagaimanapun, dari 262 keluarga yang layak, 64 keluarga enggan berpindah mahupun menerima tawaran kediaman alternatif.

“Mereka (64 keluarga) ini dipercayai dihasut oleh ‘persatuan penduduk’ supaya tidak menerima tawaran tersebut walaupun pihak pemaju telah memulakan kerjakerja menanam cerucuk di kawasan tersebut.

“Perkara yang dilaporkan dalam akhbar hari ini (6 Ogos 2015) menggambarkan seolah-olah Kerajaan Negeri kini bertindak kejam terhadap penduduk, walhal tindakan penguatkuasaan yang dilakukan sehari sebelum itu adalah untuk lima buah rumah sahaja yang didapati menghalang kemajuan pembangunan di kawasan tersebut.

“Dua dari rumah tersebut tidak dirobohkan kerana memberi peluang untuk penghuninya mengosongkan rumah sehingga Selasa (11 Ogos) hadapan,” jelasnya.

Tambah beliau, sepatutnya mengikut notis terdahulu, tindakan penguatkuasaan perlu dijalankan pada 8 dan 9 Jun lalu, tetapi diberi tempoh sehingga 5 Ogos.

“Oleh itu, kami ingin membidas tindakan sesetengah individu yang cuba mengambil kesempatan memainkan isu politik dalam hal membabitkan kepentingan awam,” tegasnya.

Lanjutan itu, Hock Seng menyatakan bahawa, Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri juga telah bersetuju untuk mengeluarkan satu notis tempoh pengosongan kediaman, enam bulan, bagi membolehkan penghuni berpindah ke kediaman alternatif yang ditawarkan.

document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);