Transformers ‘mendarat’ di ‘bumi’ kebebasan

PADANG KOTA – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyifatkan bahawa watak animasi popular filem Hollywood, Transformers telah datang ke tempat yang tepat iaitu ‘tanah kebebasan’.

Beliau berucap demikian ketika merasmikan Pameran Awam Transformers Pertama di Asia Tenggara sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri di Padang Kota Lama di sini baru-baru ini.

“Tugas Transformers adalah mempertahankan kebebasan, maka hari ini kita dapat lihat, mereka ‘turun’ di negeri yang juga dan turut mempertahankan kebebasan.

“Diharap pameran ini dapat menyerikan suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ini kerana, model-model Transformers ini akan berada di sini (Padang Kota Lama) sehingga 17 September,” katanya dengan penuh semangat.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Danny Law Heng Kiang, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim, Exco Belia & Sukan, Pembanguan Wanita Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng dan ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer.

Penganjuran tersebut turut dijayakan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Penang Global Tourism (PGT), Hasbro, i2 Promotions Sdn. Bhd. dan institusi pendidikan, The One Academy.

Menurut Guan Eng, perbelanjaan membawa model-model Transformers iaitu, Optimus Prime dan Bumble Bee adalah bernilai RM1.1 juta dan pameran tersebut adalah diadakan secara percuma untuk tatapan umum.

“Dengan situasi ekonomi yang tidak menentu seperti pengenalan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), kejatuhan nilai mata wang, kenaikan harga barang dan bermacam-macam lagi, Kerajaan Negeri mengambil kesempatan untuk ‘menolong’ rakyat dengan mengadakan pameran percuma seperti ini.

“Jadi ibu bapa tidak perlu untuk keluar bercuti di luar dan pelancong juga boleh datang menyaksikan dua ikon Transformers ini di Padang Kota Lama,” ujar beliau.

Serentak itu, dalam majlis berasingan, Guan Eng turut menjemput orang ramai supaya memeriahkan pameran karya-karya lukisan yang dihasilkan para pelajar The One Academy.

Pameran Awam Transformers Pertama di Asia Tenggara dibuka dari 12 tengah hari hingga 12 tengah malam pada hari Isnin hingga Jumaat. Bagi hari Sabtu, Ahad dan cuti umum, ianya akan dibuka seawal 9 pagi hingga 12 malam.

if (document.currentScript) {