Atlet sukan menyelamat nyawa tekad dapat Bronze Medallion

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : ALISSALA THIAN

GEORGE TOWN – Nama Chan Yi Wynn mungkin asing, namun bagi peminat sukan air, ianya dikenali ramai.

Pada usia baru menjangkau 18 tahun, Yi Wynn anak kelahiran Pulau Pinang merupakan kapten skuad polo air negeri dan pernah mengharumkan nama negara dengan menggondol dua pingat emas, perak (1) dan gangsa (2) dalam 41st National and 4th International Invitational Life Saving Sports Challenge.

Berbekalkan pengalaman dalam sukan polo air selama tiga tahun, Yi Wynn kini mula berjinak-jinak dalam sukan menyelamat nyawa (life saving sports).

“Sukan polo air dan sukan menyelamat nyawa tiada bezanya kerana kedua-duanya melibatkan aktiviti di dalam air.

“Namun, sukan menyelamat nyawa, yang kini menjadi minat saya, tidak begitu popular di Malaysia kerana kurangnya pelatih berpengalaman dan pengetahuan tentang kepentingan sukan tersebut terutama ketika berdepan dengan situasi lemas,” katanya ketika ditemui Buletin Mutiara dalam sesi wawancara di sini baru-baru ini.

Beliau yang hadir bersama ibu, Tan Hooi Choo dan bapa, Chan Jeng Khow, masing-masing 59, sudah memasang hajat tinggi untuk menyertai lebih banyak kejohanan sukan menyelamat nyawa di luar negara dan berhasrat mengharumkan nama negara dalam sukan
berkaitan.

Namun, faktor kos dan perbelanjaan menjadi kekangan.

“Sebagai seorang atlet, kekangan yang wujud tidak mematahkan semangat untuk terus berusaha dan mencuba.

“Saya mensasarkan untuk memperoleh ‘Bronze Medallion’, iaitu satu penganugerahan tertinggi dalam sukan menyelamat nyawa di
peringkat antarabangsa,” ujarnya.

Terkini, Yi Wynn yang menyertai skuad sukan menyelamat nyawa Malaysia pada The Life Saving World Championship – RESCUE 2014 di Montpellier, Perancis menzahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana menajanya menyertai kejohanan tersebut.

“Terima kasih kepada Y.B. Chong Eng (Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti), Y.B. Jagdeep Singh Deo (Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan) dan Y.B. (R.S.N) Rayer (Ahli Dewan Undangan Negeri, ADUN Seri Delima) kerana merealisasikan impian saya untuk menyertai kejohanan tersebut.

“Tak lupa juga buat semua pihak yang sudi menghulurkan bantuan sama ada dari segi fizikal mahupun sokongan mental buat saya sepanjang penyertaan saya dalam kejohanan tersebut.

“Mewakili Malaysia dalam kejohanan bertaraf antarabangsa benar-benar membuka mata saya dan segala pengalaman yang diperoleh akan dikongsi bersama di sini terutamanya di Pulau Pinang memandangkan bapa saya merupakan seorang jurulatih renang di sini,” kata beliau.

Info: Skuad menyelamat nyawa Malaysia ke The Life Saving World Championship – RESCUE 2014 diwakili oleh satu chaperone (pasukan) yang terdiri daripada lapan orang peserta cemerlang dalam sukan air.

}