Program Sisa Sifar dekati asrama pekerja asing

Teks & Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD

BUKIT MERTAJAM – Program Sisa Sifar anjuran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) bertujuan mengurangkan penghasilan sisa yang perlu dihantar ke tapak pelupusan sampah diperluaskan ke asrama-asrama pekerja asing baru-baru ini.

Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Heng berkata, asrama JR Joint Resources Holding di Pangsa Taman Permata Blok F merupakan asrama pertama di daerah ini yang bekerjasama dengan MPSP dan Pusat Sumber Alam Sekitar Taman Desa Palma bagi merealisasikan program berkaitan.

“Konsep 4P (Public, People, Private Partnership) seumpama ini adalah amat penting dalam menjayakan apa jua program alam sekitar.

“Oleh itu, MPSP ingin mencadangkan agar program ini dapat dijadikan “house rule” yang perlu dipatuhi penghuni-penghuni di asrama ini.

“Serentak itu, pihak pengurusan perlu memaklumkan peraturan ini kepada para penghuni bagi memastikan ia adalah efektif,” katanya pada Majlis Perasmian Program Sisa Sifar di sini baru-baru ini.

Turut hadir, pengurus asrama berkaitan, Md. Faruk Biswas.

Menurut Cheong Heng, terdapat tiga kategori sisa iaitu boleh dikitar semula, tidak boleh dikitar semula dan sisa organik.

“Bagi sisa yang boleh dikitar semula dan sisa organik, ia dapat membantu MPSP mengurangkan kos pelupusan sisa pepejal kerana ia boleh dijual dan dijadikan kompos.

“Bagi sisa tidak boleh dikitar semula, ia hanya boleh dibuang sebagai sampah ke tapak pelupusan di Pulau Burung dengan kos perbelanjaan yang tinggi,’’ ujarnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa MPSP turut berbincang dengan syarikat Flextronic untuk mengembangkan program tersebut  ke Pangsa Taman Pelangi, Perai.