Bahasa Inggeris bukan satu beban sebaliknya jalan kepada ilmu-ilmu lain -ADUN

SYERLEENA Abdul Rashid (tengah sekali, hadapan) menunjukkan isyarat 'bagus' sejurus berucap pada bengkel Bahasa Inggeris yang diadakan baru-baru ini.

MENJAYAKAN… Dalam menanam keyakinan di kalangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Haji Mohd. Nor Ahmad, untuk menguasai Bahas Inggeris, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid mengambil inisiatif memberikan sumbangan penuh kepada program tersebut.

Program yang dinamakan ‘Confident Communication an English Speaking Workshop’ merupakan suatu bengkel untuk menanam keyakinan diri kepada pelajar-pelajar terlibat ketika berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris.

Saya menyarankan pelajar-pelajar supaya tidak menganggap penggunaan Bahasa Inggeris sebagai beban, sebaliknya ia diterima dengan gembira kerana Bahasa Inggeris merupakan jalan kepada ilmu-ilmu yang lain.

Pada masa yang sama, para pelajar juga berpeluang meningkatkan keterampilan diri dalam penguasaan Bahasa Inggeris untuk menghadapi cabaran Industri 4.0 kini,” ucap beliau ketika berucap dalam majlis berkenaan yang bertempat di Perpustakaan Digital Pulau Pinang (PDL) dekat Jalan Masjid Negeri baru-baru ini.

Syerleena dalam pada itu turut merakamkan ucapan penghargaan kepada beberapa pihak swasta yang menjayakan program tersebut termasuk guru-guru dari SMK Haji Mohd. Nor Ahmad.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar: ADUN