Obor APMG 2018 diarak menaiki feri, diiringi persembahan boria

Admin

RATA-RATA penumpang yang menaiki feri dari Pengkalan Sultan Abdul Halim (PHSA), Butterworth ke Pengkalan Raja Tun Uda (PTRU), di sini kelihatan teruja apabila berpeluang menyaksikan persembahan boria daripada Jabatan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang.

Persembahan tersebut adalah bersempena Larian Obor Asia Pacific Masters Games (APMG) 2018 yang kini telah sampai ke kemuncaknya.

Persembahan boria daripada Jabatan Kebudayaan Negeri Pulau Pinang menghiburkan penumpang feri

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Gooi Zi Sen yang menyambut ketibaan pelari di Jeti Pengkalan Raja Tun Uda kemudiannnya menerima obor berkenaan untuk meneruskan larian melalui Persiaran Karpal Singh sebagai lokasi seterusnya.

Terdahulu, Obor APMG tiba di George Town selepas dibawa merentasi Selat Melaka oleh pasukan perenang yang diketuai oleh Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Dato’ Ar. Yew Tung Seang sebelum diserahkan kepada Ketua Menteri merangkap ADUN Padang Kota, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow.