Baikpulih bangunan warisan giat bidang Sains

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Inisiatif membaikpulih bangunan warisan, Wisma Yeap Chor Ee di Gat Lebuh Cina sebagai hab Creative Animation Trigger ( C AT ) di lihat mampu mempromosi, membangun serta membina suatu hubungan positif ke arah pengwujudan
sebuah pusat sains yang inovatif di negeri ini.

Hubungan tersebut adalah meliputi pelajar dan penggiat industri kreatif dengan bidang sains inovatif dalam menyuntik inspirasi kepada janaan pendapatan tinggi serta pulangan ekonomi yang baik.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, perancangan tersebut merupakan matlamat jangka panjang Kerajaan Negeri dalam menerapkan transformasi Pulau Pinang untuk menjadi sebuah bandaraya pintar yang pada masa sama turut memelihara pusat tumpuan pelancong dan warisan di George Town.

“Bidang ini merangkumi produksi awal, studio kesan khas (special effect studio), penerbitan, animasi, permainan komputer, interaktif dan pelbagai aplikasi multimedia.

“Jesteru dengan pelan pembangunan CAT, industri kreatif pada hari ini dilihat sebagai bidang ‘dicari’ dalam prospek pembangunan
ekonomi yang mampu menjana impak positif kepada negeri,’’ katanya pada Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) antara Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan Wawasan Open University Sdn. Bhd. (WOU) bagi membangunkan Wisma Yap Chor Ee sebagai hub CAT di sini baru-baru ini.

Pada pemeteraian MoU tersebut, PDC diwakili Pengurus Besarnya, Datuk Rosli Jaafar manakala WOU oleh Pengerusinya, Datuk Seri
Stephen Yeap Leong Huat.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Exco Belia Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang.

Turut akan dibangunkan bersama adalah Kafe Sains Pulau Pinang bagi mempelbagaikan lagi fungsi dan daya tarikan sedia ada.