Pondok telefon awam perlu tindakan – ADUN

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

AIR ITAM – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai menyatakan bahawa sebanyak 34 pondok telefon awam sekitar sini berada dalam keadaan ‘sakit’ dan perlu diambil tindakan drastik pihak berwajib.

Kata beliau, hasil tinjauan pihaknya mendapati pondok-pondok telefon sekitar sini mengalami pelbagai masalah ‘kecacatan’ seperti kehilangan ganggang, tiada ‘ibu’ telefon, rosak dan ada yang hanya ditinggalkan tiang serta tapak semata-mata.

“Oleh itu, saya sudah menulis surat kepada pihak-pihak berwajib seperti Telekom Malaysia (TM), Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dan pejabat Daerah Timur Laut (DTL) bagi memastikan pondok-pondok telefon ini dapat diuruskan dengan baik atau lupuskan sahaja sekiranya terlalu usang,” ujarnya pada sidang media di sini baru-baru ini.

Menurut Hon Wai, audit yang dijalankan tersebut adalah mengambil tempoh masa hampir sebulan bagi tujuan merekodkan semua jumlah pondok telefon rosak di seluruh Air Itam termasuk kampung-kampung.

“Saya juga bercadang untuk mengemukakan kepada Jabatan Audit Negara supaya turut melakukan audit-audit segala kemudahan awam yang terdapat dalam negara kita seperti pili bomba, perhentian bas serta kemudahan lain bagi memudahkan orang awam serta tidak mencacatkan pemandangan,” tambah beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri.

Dalam pada itu, Hon Wai turut tidak menolak kemungkinan bahawa kerosakan yang berlaku adalah ekoran tindakan vandalisme.

“Selain itu, kemajuan teknologi telefon bimbit yang rata-rata dimiliki semua orang juga dipercayai menjadi penyumbang kepada pengabaian telefon awam oleh masyarakat awam kini,’’ jelasnya.