Bajet 2014 mendekati ‘Rahmat Seluruh Alam’ – Mohd. Salleh

GEORGE TOWN – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man menganggap 3P yang digagaskan sebagai teras utama pembangunan negeri dalam Bajet 2004 Pulau Pinang adalah mendekati maksud konsep ‘Rahmat Untuk Semua’.

Memetik Bajet 2014, 3P yang digagaskan adalah merancakkan pertumbuhan negeri (pro-growth), peluang-peluang pekerjaan (projobs) dan menjamin keadilan sosio-ekonomi (pro-poor).

“Apa yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri sekarang (Bajet 2014 Pulau Pinang), saya lihat bertepatan dengan tema (ucapan Presiden) PAS barubaru ini, iaitu ‘Rahmat Seluruh Alam’.

“Saya menyokong penuh pada perancangan Kerajaan Negeri dalam 3 teras Bajet 2014 tersebut,” ujarnya semasa membahaskan Bajet 2014 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Mohd. Salleh, Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) berkata, Bajet 2014 turut mendekati konsep ‘Negara Berkebajikan’.

Dalam perkembangan sama, Mohd. Salleh mencadangkan supaya peruntukan pembangunan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) (P16-02/03) turut dinaikkan, memandangkan elaun  ADUN, Ketua Pembangkang dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) masing-masing telah ditambah.

Sebelum itu, kesemua 10 ADUN Pembangkang bertindak keluar dari dewan  selepas mendakwa ADUN Pakatan Rakyat, khususnya R.S.N. Rayer (Seri Delima) menghalang mereka menyertai proses perbahasan.