Bajet 2015 MPPP, tekan baiki kemudahan awam

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar: SHUM JIAN WEI

GEORGE TOWN – Bajet 2015 Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) dijangka mengalami defisit sebanyak RM89.26 juta tahun hadapan dengan anggaran hasil sebanyak RM411.20 juta berbanding anggaran perbelanjaan, RM500.46 juta.

Yang di-Pertua (YDP) MPPP, Datuk Patahiyah Ismail ketika Mesyuarat Khas Majlis berhubung Bajet Tahun 2015 di sini berkata, bajet defisit tersebut bakal dibiayai wang simpanan Majlis yang mencatatkan lebihan dalam penyata kewangan untuk tiga tahun berturut iaitu tahun 2011 sebanyak RM69.92 juta, 2012 (RM80.09 juta) dan 2013 (RM47.57 juta).

“Penggubalan Bajet 2015 bermatlamatkan perbelanjaan berhemat dan mengutamakan kesejahteraan pembayar cukai dirangka dengan memberi penekanan kepada lima fokus utama seperti melestarikan persekitaran bersih, memantapkan perkhidmatan, memperkasakan pengurusan lalulintas dan infrastruktur, memantapkan keselamatan awam serta menganjurkan program riadah,’’ katanya pada pembentangan tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Setiausaha Majlis, Ir. Ang Aing Thye dan barisan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

Menurut Patahiyah, MPPP mempunyai tiga punca hasil utama iaitu Hasil Cukai, Hasil Bukan Cukai dan Terimaan Bukan Hasil.

“Anggaran Hasil bagi 2015 sebanyak RM411.20 juta akan disumbangkan melalui tiga punca hasil ini yang dianggarkan meningkat pada tahun hadapan (2015) berbanding hasil tahun lalu (2014).

“Anggaran Hasil Cukai dianggarkan meningkat sebanyak RM8.86 juta berbanding tahun 2014 (RM174.83 juta) menjadikan keseluruhan jumlah hasil ini adalah sebanyak RM183.69 juta.

“Jumlah Hasil Bukan Cukai meningkat RM31.03 juta menjadikan kutipan pada 2015 kepada RM179.93 juta (43.76 peratus). Anggaran Hasil Bukan Cukai pada tahun 2014 ialah sebanyak RM148.90 juta.

“Anggaran Terimaan Bukan Hasil ialah sebanyak RM47.58 juta atau 11.57 peratus daripada keseluruhan jumlah hasil iaitu meningkat sebanyak RM26.33 juta berbanding 2014 sebanyak RM21.25 juta,” jelas beliau.

Tambahnya, bajet bertemakan Pulau Pinang Lebih Selamat, Bersih, Hijau dan Sihat itu kemudiannya dipersetujui ahli majlis dewan mesyuarat MPPP.

Dalam pada itu, Patahiyah memberitahu, bagi tujuan mencapai bidang keberhasilan utama untuk memantapkan keselamatan, kebersihan, kehijauan, kesihatan dan kemudahan awam serta infrastruktur, maka sejumlah peruntukan disediakan untuk tujuan tersebut.

“Bajet 2015 memberikan penekanan kepada penambahbaikan kemudahan awam dan infrastruktur iaitu membabitkan peruntukan berjumlah RM96.57 juta.

“Diikuti dengan aspek kebersihan (RM55.85 juta), keselamatan (RM12.86 juta), kehijauan (RM4.75 juta) dan sihat (RM3.45 juta),” jelas beliau.