KM tidak setuju kenyataan mantan PM bahawa Melayu malas

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI

SUNGAI PINANG – Kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menyifatkan kaum Melayu sebagai malas baru-baru ini pantas disangkal Ketua Menteri di sini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Guan Eng pada satu sidang media menyebut, adalah tidak adil untuk Mahathir menyalahkan sesebuah komuniti semata-mata sedangkan Kerajaan Pusat sendiri tidak mengetahui kesalahan polisi yang diterapkan selama ini adalah tidak betul.

“Ini adalah satu tuduhan yang tidak baik dilemparkan kepada kaum Melayu dan saya sangat tidak bersetuju.

“Pandangan saya adalah kerajaan sebenarnya yang perlu mengkaji dasar polisi diperkenalkan dalam memajukan kaum-kaum tertentu,” ujarnya ketika merasmikan penganjuran Pakelo Lubricants Street Challenge di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang dan Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ram Karpal Singh.

Guan Eng memberitahu, contoh berkenaan dapat dilihat pada negara China yang suatu ketika dulu merupakan sebuah negara miskin dan kini menjadi kuasa ekonomi dunia.

“Pada tahun 1960-an, jika kita lihat, China merupakan sebuah negara miskin dan dunia melabelkan mereka (negara China) sebagai malas kerana dasar kerajaannya yang tertutup berbanding sekarang yang mana polisi kerajaan China adalah lebih terbuka dan liberal sehingga menjadikannya kuasa ekonomi kedua dunia pada ketika ini,” ujar beliau.

Serentak itu, Guan Eng secara sinis turut mempersoalkan adakah kenyataan Mahathir yang secara terang-terangan menghina kaum Melayu tersebut akan diambil tindakan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Kalau sebelum ini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, R.S.N. Rayer yang melabelkan tiga individu ahli UMNO sebagai celaka dikenakan dakwaan itu sedangkan beliau (Rayer) tidak pun menghina kaum Melayu diambil tindakan, mungkin Mahathir boleh didakwa kerana menghina seluruh kaum Melayu,” ujarnya.

Program Pakelo Lubricants Street Challenge anjuran pengeluar barangan penjagaan kereta, Pakelo Lubricants julung kali diadakan di Pulau Pinang diadakan selepas 20 tahun.

Pertunjukkan aksi drift dalam suasana hujan amat mencabar dan memukau hampir 1,000 pengunjung yang hadir.