Banci 2020, penjawat awam negeri wajib guna kaedah e-Census

Admin

GEORGE TOWN – Semua penjawat awam Pulau Pinang diwajibkan mengisi maklumat Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia (Banci 2020) secara dalam talian melalui kaedah e-Census mulai 7 Julai hingga 30 September ini.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar berkata, perkara itu diputuskan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan Banci Penduduk dan Perumahan 2020 pada 3 Julai 2020 selepas mengambil kira isu pandemik COVID-19.

“Selain itu, kaedah ini juga lebih cepat, mudah serta menjimatkan kos kerajaan untuk melantik penyelia dan pembanci.

“Justeru, bagi Pulau Pinang kita putuskan bahawa semua agensi-agensi Kerajaan Negeri, pihak berkuasa tempatan (PBT), badan-badan berkanun negeri serta agensi berkaitan kerajaan (GLC) secara 100 peratus akan menggunakan kaedah ini.

“Mengikut perjawatan di Pulau Pinang, untuk agensi Kerajaan Negeri dan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri kita ada 3,453 orang, penjawat PBT pula seramai 4,698 orang manakala badan-badan berkanun (402 orang) yang membawa jumlah keseluruhan adalah 8,553 orang.

“Jumlah tersebut belum mengambil kira anggota-anggota GLC dan anak-anak syarikat Kerajaan Negeri yang mana kita jangkakan kira-kira 10,000 anggota perkhidmatan awam negeri akan menggunakan kaedah ini,” katanya pada sidang media di pejabatnya, Komtar 3 Julai lalu.

Turut serta, Pengarah Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Suhaimi Mohd. Yunus.

Mengulas lanjut, Abdul Razak memaklumkan bahawa semua anggota perkhidmatan awam yang mahu mengisi maklumat banci melalui kaedah e-Census perlu menggunakan alamat e-mel masing-masing.

“Sekiranya kita mahu memastikan 100 peratus penjawat awam menggunakan kaedah ini, kita ada satu lagi cara iaitu pre-registration (pra-pendaftaran) juga melalui e-Census. Ini kerana tidak semua penjawat awam mempunyai alamat e-mel.

“Bagi mereka yang sudah mempunyai alamat e-mel, kita wajibkan menggunakan e-Census.

“Bahagian Khidmat Pengurusan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri akan memantau sepanjang pelaksanaan e-Census untuk melihat prestasi penggunaan kaedah ini,” ujarnya lagi.

Difahamkan, Banci 2020 akan dilaksanakan dalam dua fasa iaitu fasa pertama mulai 7 Julai hingga 30 September menggunakan kaedah e-Census manakala fasa 2 akan bermula pada 7 hingga 24 Oktober 2020 secara bersemuka.

Abdul Razak berkata, dianggarkan sebanyak 580,000 tempat kediaman akan diliputi semasa Banci 2020 di negeri ini yang melibatkan lebih kurang 1.8 juta penduduk.

Katanya, jumlah pembanci yang terlibat di negeri ini adalah kira-kira seramai 5,851 orang, penyelia (812), penguasa daerah (57) dan sembilan orang Penolong Pesuruhjaya Banci.

Sementara itu, Mohd. Suhaimi menasihati orang ramai supaya memberikan kerjasama ketika proses pembancian dijalankan kerana semua maklumat yang dikumpul adalah sulit dan tertakluk di bawah Perlembagaan Persekutuan, Akta Banci 1960 (Disemak 1969) dan Akta Perangkaan 1965 (Disemak 1989).

“Data yang dikumpul melalui banci ini bakal memberi manfaat kepada segenap rakyat dan lapisan masyarakat kerana ia digunakan oleh pihak kerajaan untuk membuat perancangan dan polisi yang berpaksikan rakyat.

“Selain itu, melalui statistik ini kerajaan dapat mengenal pasti seterusnya memfokuskan kepada usaha mengembangkan industri baharu serta mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat,” ulasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN