Bangunan industri RM15. 5 juta tempatkan pejabat Osram

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

Gambar : SHUM JIAN-WEI

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) meluluskan rancangan pembinaan bangunan tiga tingkat industri bernilai RM15.5 juta, untuk disewa oleh firma Osram Opto Semiconductors (Osram) dari Jerman.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, di bangunan tambahan dengan keluasan lantai 54,252 kaki persegi berkaitan akan ditempatkan pejabat Osram, makmal untuk projek inovasi rekacipta dan realisasi teknologi pencahayaan firma tersebut.

“Pembesaran ini akan memberi tumpuan pada perniagaan dan teknologi berkemahiran tinggi, sekaligus akan mewujudkan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi untuk bakat Pulau Pinang,” katanya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng turut melahirkan penghargaan kepada Osram kerana terus setia mengembangkan industri pelaburannya di negeri ini sejak tahun 1972.

Dengan pelaburan firma dari Jerman berkenaan, jelasnya, sekaligus membawa manfaat kepada negeri, dari aspek meningkatkan pengalaman dan kemahiran pekerja tempatan.

“Kerajaan Negeri melalui agensi pelaburan utama kami, investPenang (iP) dan PDC, telah secara proaktif bekerjasama dengan Osram untuk memudahkan rancangan pengembangan.

“Pulau Pinang juga akan mendapat manfaat daripada memperluaskan asas pembekal tempatan Osram melalui pengenalan teknologi pembuatan baru,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Selepas itu, Guan Eng menyaksikan majlis perjanjian pajakan berwajib antara Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Pengarah Osram Opto Semiconductors (Osram) (M) Sdn. Bhd., Dr. Roland Mueller.

Turut hadir, Penasihat Khas kepada Ketua Menteri, Datuk Lee Kah Choon, Loo Lee Lian (Pengurus Besar iP) dan Ir. Addnan Mohd.

Razali (Pengarah Kejuruteraan bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang, MBPP). Pada sidang media sama, Mueller menyatakan bahawa pertukaran kontrak adalah langkah pertama dalam pembinaan bangunan baru ke arah memberi manfaat kepada keduadua pihak.

“Jika semua berjalan mengikut perancangan, operasi firma di bangunan baru itu dijadual bermula pada tahun depan.

“Bangunan baru itu akan mengukuhkan lagi lokasi Pulau Pinang (firma Osram) kami,” katanya, sambil merakamkan penghargaan kepada Guan Eng dan PDC.

}