PIHEC 2016 lakar sejarah, catat penyertaan terbesar

Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF

Gambar : LAW SUUN TING

BAYAN BARU – Ekspo dan Persidangan Halal Antarabangsa Pulau Pinang (PIHEC) siri ke-tujuh yang diadakan baru-baru ini di Subterranean Penang International Convention and Exhibition Centre (SPICE) melakar sejarahnya tersendiri apabila menerima penyertaan terbesar sejak diperkenalkan pada tahun 2010.

Sebanyak 326 buah syarikat dan industri sama ada dari dalam mahupun luar negara mempamerkan hasil produk dan perkhidmatan masing-masing dari 29 hingga 31 Januari lalu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika hadir merasmikan PIHEC 2016 di sini berkata, magnitud penyertaan yang makin bertambah saban tahun bakal mengukuhkan rantaian nilai bekalan industri halal secara keseluruhannya dalam usaha menjadikan Pulau Pinang sebagai sebuah hab halal global.

“Melihat kepada peningkatan pesat industri halal, saya percaya melalui perkongsian dan kerjasama strategik dengan pemain industri halal antarabangsa yang lain, Pulau Pinang akan lebih menonjol serta mampu menjana pulangan yang lebih baik pada masa hadapan,” katanya sambil memuji inisiatif yang dimainkan oleh Penang International Halal Hub (PIHH) atau lebih dikenali sebagai Halal Penang dalam membangunkan industri ini di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato, Mohd. Rashid Hasnon, Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri & Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Abdul Malik Abul Kassim selaku Pengerusi Halal Penang, barisan Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Lembaga Pengarah Halal Penang, Muhamad Sabu.

Penganjuran kali ini turut melibatkan penyertaan dari Pakistan, China, Korea, Indonesia, Thailand, Jepun, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Dalam pada itu, Abdul Malik ketika diminta mengulas memberitahu, penglibatan terbesar gerai pempamer pada penganjuran kali ini merupakan satu platform buat para usahawan terutama usahawan tempatan meneroka peluang perniagaan.

“Pelbagai perkhidmatan halal diketengahkan, antaranya rangkaian makanan dan minuman, kosmetik dan farmaseutikal, sistem perbankan dan kewangan Islam, pakaian muslim dan muslimah, agensi pelancongan, e-Dagang serta pembekal perkhidmatan pemasaran.

“Pasti ia tidak mengecewakan hampir 70,000 pengunjung yang hadir dan ingin mendapatkan tawaran istimewa produk-produk tempatan dan luar negara,” ujar beliau.

Abdul Malik dalam pada itu turut meraikan delegasi luar negara dan tetamu jemputan khas dalam Majlis Makan Malam Gala yang diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abbas dan isteri, Toh Puan Majimor Shariff.