Banjir kilat 30 tahun Taman Siakap bakal berakhir

Admin

Oleh : AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Kegelisahan penduduk Taman Siakap di sini yang sejak 30 tahun lalu berhadapan dengan masalah banjir kilat bakal berakhir ekoran pengumuman Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berhubung inisiatif menaiktaraf sistem saliran di taman tersebut di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin berkata, projek naiktaraf membabitkan peruntukan RM2 juta itu diluluskan Jawatankuasa Tebatan Banjir melalui inisiatif peruntukan Wang Caruman Perparitan.

Jelasnya yang juga Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, kawasan taman perumahan tersebut sering dilanda banjir kilat lebih daripada 30 tahun berpunca daripada sistem perparitan sedia ada yang tidak sempurna.

“Taman Siakap merupakan kawasan perumahan di Seberang Jaya yang paling kerap dilanda banjir kilat membabitkan 100 rumah.

“Situasi ini amat menyusahkan penduduk terutamanya di kawasan Tingkat Siakap 9, Tingkat Siakap 11 dan Lorong Siakap 12,” ucapnya pada Majlis Pecah Tanah Projek Naiktaraf Sistem Saliran Taman Siakap di sini baru-baru ini.

Turut serta, Setiausaha Perbandaran MPSP, Sr. Rozali Mohamud dan tiga Ahli Majlis MPSP, Ahmad Tarmizi Abdullah, Abdul Jalil Che Ros dan Tan Cheong Heng.

Pengumuman tersebut adalah susulan hasil lawatan kerja Afif, MPSP dan pihak-pihak terbabit Julai tahun lalu bagi mengatasi masalah banjir kilat yang sering berlaku di sini.

Tambah Afif, susulan itu, MPSP telah memohon peruntukan melalui Wang Caruman Perparitan sebanyak RM2 juta bagi menaiktaraf sistem sedia ada dan membina kolam takungan banjir berkapasiti 8500m³.

“Saya selaku ADUN baru di kawasan ini berharap dapat mengatasi masalah ini untuk sekian kalinya bagi meningkatkan kualiti kehidupan dan memastikan keselesaan penduduk Taman Siakap,” nyata beliau.

Menurut Afif, Jawatankuasa Tebatan Banjir telah meluluskan peruntukan tersebut kepada MPSP bagi melaksanakan projek naiktaraf yang dijangka siap sepenuhnya pada 19 Januari 2015.

“Jawatankuasa Lembaga Perolehan Negeri Pulau Pinang telah bermesyuarat dan melantik kontraktor yang berjaya iaitu HRJ Profil Sdn. Bhd.

“Tempoh masa untuk menyiapkan  projek ini adalah selama sembilan bulan dan ia telah pun bermula pada 6 Mei baru-baru ini,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Rozali berkata, MPSP telah merangka projek-projek mitigasi banjir di kawasan hotspot sekitar Seberang Perai.

 “Kawalan banjir adalah agenda keempat di dalam Fokus MPSP 2014.

“Antara projek-projek yang dirangka adalah cadangan menaiktaraf sistem perparitan di Lengkok Tenggiri, Seberang Jaya dan Taman Kerjasama, Bukit Tengah serta pemasangan pintu air di parit monsun Taman Bagan,” jelas beliau.

Kata Rozali, sikap segelintir masyarakat yang membuang sampah merata-rata adalah antara punca berlakunya kejadian banjir kilat.

“Di kesempatan ini, saya ingin menyeru agar penduduk di sini dapat bersama-sama MPSP membantu menjaga kawasan sekitar terutamanya saliran longkang dan parit supaya tidak tersumbat,” seru beliau.

Rozali menambah, apabila sampah dibuang sesuka hati ke dalam saliran air, maka kecenderungan untuk tersumbat sehinga menyebabkan banjir kilat adalah lebih tinggi.