Kuatkuasa kadar baru sewa pasar awam, kompleks jaja 1 Sept.

Admin

SEBERANG JAYA – Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menguatkuasa kadar baru sewa gerai di 65 kompleks makanan dan 28 pasar awam mulai 1 September ini memandangkan jumlah kutipan kini sebenarnya tidak cukup untuk menampung kos operasi dan sewaan berwajib.

Yang di-Pertuanya, Maimunah Mohd. Sharif bagaimanapun berkata, kadar sewa baru itu masih antara terendah berbanding ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT) lain.

“Contoh untuk gerai tertutup, kadar baru RM6 dari (kadar asal) RM3 sehari, ini pun air dan api kita (MPSP) bayar. Pembersihan dan kerja-kerja baikpulih pun kita buat berdasarkan aduan penyewa.

“Kadar sewa baru ini ditetapkan berdasarkan kepada jenis jualan, lokasi gerai dan sambutan pelanggan, tidak langsam seperti dulu,” ujarnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Turut hadir, tiga Ahli Majlis bagi MPSP, Tan Cheong Eng, Rezal Huzairi Md. Zaki, Ahmad Kaswan Kassim.

Maimunah menjelaskan, jumlah kutipan sewa gerai bagi tahun 2010 adalah sebanyak, RM5.1 juta, diikuti, RM3.4juta (2011), RM3.3 juta (2012) dan RM3.4 juta (2013).

Manakala, jumlah perbelanjaan berwajib pula, katanya, RM2.3 juta bagi tahun 2010, diikuti RM2.2 juta (2011), RM4.7 (2012) dan RM4.4 juta (2013).

“Kutipan bagi tahun 2010 agak tinggi kerana termasuk bayaran tertunggak tahun sebelumnya… (manakala) perbelanjaan meningkat sebab kerja-kerja menaiktaraf pasar serta sebab kos operasi dan utiliti meningkat,” ujar pegawai berwajib MPSP pada sidang media sama.

Cheong Eng pula memberitahu, PBT tidak mampu lagi menangguh kos utiliti dan penyelenggaraan disebabkan kesan berantai pada langkah Kerajaan Pusat menaikkan harga tarif elektrik dan sebagainya. Kadar sewa bulanan lama antara RM30 hingga RM120, berkuatkuasa pada 1 Januari 1992.

Mesyuarat Majlis Penuh pada 23 Mei lepas meluluskan kadar sewaan bulanan baru, antara RM60 hingga RM240.