Bantahan projek PSR di luar Parlimen proaktif, Kon Yeow syor nelayan mula bincang bentuk pampasan

Admin

SERI DELIMA – Nelayan Pulau Pinang yang menyertai demontrasi di perkarangan Parlimen bukan sahaja terdiri oleh mereka yang membantah projek penambakan laut di perairan selatan Pulau Pinang (PSR), bahkan kumpulan yang mahu berunding dengan Kerajaan Negeri daripada segi bentuk pampasan.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow dalam reaksi spontan berkata, beliau menyifatkan aksi kedua-dua pihak itu adalah tindakan proaktif serta perlu diteruskan pada tahap seterusnya iaitu berunding mengenai bentuk pampasan dengan Kerajaan Negeri.

“Mereka ada dua pendirian apabila berjumpa dengan pihak Kerajaan Negeri (Pulau Pinang), satu kumpulan ada daripada persatuan nelayan yang tidak boleh menyokong projek PSR ini.

“Bagaimanapun kalau projek ini diteruskan, adalah menjadi tanggungjawab persatuan nelayan meneruskan kesinambungan perjuangan nelayan dalam mencari rezeki termasuk soal pampasan dalam bentuk bot-bot serta sebagainya.

“Saya menyifatkan ini merupakan tindakan proaktif,” responsnya kepada pemberita selepas berucap dalam Majlis Perasmian MakerLab dan Sambutan Ulang Tahun Ke-10 (2009-2010) Pengajaran dan Pembelajaran Bahasa Jepun di ‘Sekolah Kluster’ SMK Bukit Jambul dekat sini pada 11 Julai 2019.

Tambah beliau, mereka yang membantah PSR sebenarnya boleh meneruskan bantahan serta menolak pakej pampasan yang dicadangkan oleh Kerajaan Negeri.

Semalam, Kon Yeow menyatakan bahawa pentadbirannya belum memuktamadkan soal bentuk pampasan kepada para nelayan pantai yang bakal terjejas dek projek PSR.

Menurutnya, nelayan Pulau Pinang terbabit tidak menuntut pampasan dalam bentuk duit ringgit, namun dalam bentuk barang kelengkapan termasuk enjin bot.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : CHAN KOK KUAN & ALVIE CHENG