Bantuan SAR meningkat lagi

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI

BUKIT MERTAJAM – Bagi memartabatkan mutu pembelajaran dan pengajaran, Kerajaan Negeri, sejak tahun 2009, telah memperuntukkan sehingga RM1.75 juta setiap tahun untuk pembangunan dan bagi memenuhi keperluan penddikan 105 buah Sekolah Agama Rakyat (SAR) dan 13 buah Sekolah Tahfiz (ST) di sini.

Peruntukan tersebut juga melibatkan sepuluh buah Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK), lima buah Sekolah Menengah Agama (SMA) dan lima buah Sekolah Rendah Agama (SRA).

Malah, bagi memartabatkan lagi pembangunan Islam di negeri ini, Kerajaan Negeri turut merancang untuk mewujudkan sebuah Maahad Tahfiz Sains sepertimana yang terdapat di Kelantan dan Terengganu serta sebuah universiti Islam.

MANSOR Othman (empat dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Muhammad Fadzil Alias (tiga dari kanan) sambil disaksikan Abdul Malik Abul Kassim (empat dari kanan) dan Mohd. Salleh Man (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Agama Rakyat bagi Tahun 2012 di SABK al-Masriyah di sini baru-baru ini.
MANSOR Othman (empat dari kiri) menyerahkan replika cek sumbangan kepada Muhammad Fadzil Alias (tiga dari kanan) sambil disaksikan Abdul Malik Abul Kassim (empat dari kanan) dan Mohd. Salleh Man (dua dari kanan) pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Agama Rakyat bagi Tahun 2012 di SABK al-Masriyah di sini baru-baru ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama, Abdul Malik Abul Kassim, selain pembangunan sekolah, Kerajaan Negeri turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM1,000 kepada 105 buah SAR dan saguhati kepada 811 guru yang membabitkan peruntukan berjumlah RM348,300.

Kerajaan Negeri bertekad untuk meningkatkan mutu dan prestasi pendidikan agama melalui pelbagai program dan perancangan.

InsyaAllah dengan sokongan yang diberikan, Kerajaan Negeri berharap agar dapat membentuk generasi pewaris yang berilmu dan bertaqwa dalam memartabatkan syiar Islam di negeri ini,” ujar beliau pada Majlis Penyerahan Sumbangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang kepada Sekolah Agama Rakyat bagi Tahun 2012 di SABK al-Masriyah di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mansor Othman, Ahli Dewan Undangan Negeri Permatang Pasir, Datuk Mohd. Salleh Man; Setiausaha Baitulmal, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Sazali Hussein, wakil-wakil Bahagian Pendidikan, Jabatan Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JAIPP) dan para mudir dan guru-guru SAR. Majlis turut diserikan dengan persembahan nasyid oleh kumpulan ad-Din Voice, SMA Islam al-Masriyah.

Serentak itu, Mansor turut menyampaikan sumbangan peribadi berjumlah RM10,000 kepada Mudir SABK al-Masriyah bagi tujuan pembangunan sekolah berkenaan.