Barkath Ali, Sunquick kebanggaan P. Pinang

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI DUA – Kerajaan Negeri berharap lebih ramai lagi pelabur industri memproses makanan akan melabur di negeri ini, sebagaimana kesetiaan Kumpulan Barkath Sdn. Bhd. & CoRo Foods membuka kilang Sunquick sejak tahun 1970-an hingga sekarang.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, peranan dimainkan Ketua Pegawai Eksekutif industri itu, Datuk Seri Barkath Ali Abu Backer sejak era 1970-an wajar dianggap sebagai kebanggaan untuk seluruh rakyat di negeri ini.

“Kerjasama antara Kumpulan Barkath-CoRo Foods dari Denmark diharap dapat meningkatkan pelaburan, sekali gus menjana ekonomi di negeri ini,” ujarnya di Tapak Perindustrian Sungai Lokan di sini baru-baru ini.

Duta Denmark Ke Malaysia, Nicolai Ruge turut menyampaikan ucapan pada Majlis Perasmian Pembukaan Bangunan Tambahan Kilang Sunquick di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon, Datuk Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) dan beberapa Exco Kerajaan Negeri lain.

Menurut Guan Eng, Pulau Pinang terus dilihat sebagai destinasi pelaburan perindustrian makanan negara antaranya disebabkan tiga faktor kritikal yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, iaitu tadbir urus baik,

Integriti dalam kepimpinan dan pembangunan mampan.

“Kami turut memberi keutamaan membina bakat manusia kerana kita tahu bahawa kita boleh maju dan berjaya melalui tenaga , kepakaran dan keusahawanan rakyat negeri ini.

“Anda adalah contoh terbaik apa yang Pulau Pinang boleh capai selagi anda bekerja keras tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama,” jelar beliau sambil menyatakan bahawa hasrat untuk menjadikan Taman Perindustrian Bukit Minyak dekat Bukit Mertajam sebagai hab halal negeri.

Sebelum itu, Barkath Ali melahirkan penghargaan atas komitmen berterusan Kerajaan dalam memajukan infrastruktur perindustrian di negeri ini.

“Bangunan tambahan yang dibina dapat melancarkan operasi seterusnya memenuhi permintaan pemborong,” katanya semasa menyampaikan ucapan alu-aluan.

Difahamkan, Tapak Perindustrian Sungai Lokan merupakan lokasi pertama di negara ini yang dimahsyurkan sebagai lokasi perindustrian komersial.

Manakala, kilang Sunquick pula direkodkan sebagai industri pertama didirikan di Tapak Perindustrian Sungai Lokan di sini sekitar tahun 1970-an dan masih kekal sehingga kini.