MPSP fokus kurang perbelanjaan utiliti – YDP

Admin

Oleh: AHMAD ADIL MUHAMAD

SEBERANG JAYA – Cabaran utama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) tahun ini adalah untuk meningkatkan pendapatan dan mengurangkan perbelanjaan ekoran kenaikan tarif elektrik yang secara tidak langsung menyebabkan peningkatan kos perbelanjaan utiliti yang dianggarkan bertambah sebanyak 16.4 peratus iaitu kepada RM12.3 juta tahun ini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Yang di- Pertua MPSP, Maimunah Mohd. Sharif pada Majlis Perhimpunan Korporat MPSP buat pertama kalinya bagi tahun 2014 di sini baru-baru ini.

Beliau memberitahu, perbelanjaan anggaran bagi tahun ini adalah berjumlah RM233.5 juta berbanding anggaran pendapatan sebanyak RM206.09 juta.

“Dengan kenaikan kos-kos utiliti bagi tahun ini (2014), MPSP menganggarkan bajet defisit berjumlah RM27.41 juta secara keseluruhannya.

“Justeru, MPSP telah mengambil langkah permulaan dengan menetapkan penjimatan sebanyak lima peratus untuk kos utiliti di samping mensasarkan perolehan Pensijilan Quality Management System (EnMS) pada Julai ini dan Pensijilan Quality Environment (QE/5S) pada September tahun ini,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 kakitangan MPSP di sini.

Tambah Maimunah, MPSP menganggarkan hasil terkumpul sebanyak RM206 juta iaitu tambahan RM7 juta pada tahun ini, berbanding RM199.8 juta pada tahun 2013.

Nyatanya, bagi mencapai matlamat bagi menjadikan Seberang Perai selesa didiami dan tarikan pelaburan serta pelancongan menjelang 2018, sebanyak sembilan fokus telah dirancang sejajar dengan slogan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Sihat dan Selamat Kerajaan Negeri.

“Sembilan fokus yang dirancang adalah meliputi kebersihan, keselamatan dan lalulintas, penguatkuasaan undang- undang, kawalan banjir, pengindahan, kehijauan dan kemudahan awam, penglibatan komuniti, pembinaan kapasiti, pengurusan fiskal serta kecekapan proses kerja,’’ ujar beliau.