MPPP rampas objek di petak parkir sah

Admin

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWN – Adalah menjadi kesalahan bagi pihak ketiga meletakkan sebarang objek atau ‘penanda’ di petak-petak parkir milik Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) di sini.

Kenyataan tersebut dinyatakan Pengerusi Gantian Tetap Penguatkuasaan dan Pendidikan Awam yang juga Ahli Majlis MPPP, Dr. Tan Kim Hooi ketika mengadakan Operasi Halangan Parkir baru-baru ini.

Katanya, pihak berkuasa iaitu MPPP berhak memindahkan objek-objek yang didapati menjadi halangan dan merampas ia.

Individu yang didapati bertanggungjawab bakal didenda RM30 bagi setiap barangan dirampas.

“Ini adalah satu kesalahan! “Petak-petak parkir tersebut adalah kepunyaan MPPP, sesiapa sahaja termasuk pemilik premis berhampiran tidak berhak meletakkan atau mendirikan halangan bagi menghalang sesebuah kenderaan daripada menggunakan ruang di situ,’’ tegasnya di sini baru-baru ini.

Pada operasi berkenaan, kira-kira 25 peniaga di sekitar Lebuh Cecil, Little India dan Jalan Anson telah diberikan amaran bertulis dan direkodkan kesalahan hasil operasi yang dijalankan.

Bagi kesalahan sama, MPPP berhak mengambil tindakan penguatkuasaan mengikut Seksyen 46 (1) Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 dengan bakal dikenakan penalti RM500.

Kim Hooi memberitahu, operasi tersebut dijalankan ekoran kejadian tersebut dilihat semakin berleluasa hingga menyukarkan orang ramai meletakkan kenderaan di petak- petak parkir sah milik MPPP.

Justeru, sebagai langkah pencegahan, para pengguna dinasihatkan supaya membuat laporan kepada MPPP sekiranya didapati terdapat mana-mana peniaga yang menghalang mereka daripada berbuat demikian.

Sebarang aduan emailkan kepada aduan@ mppp.gov.my atau talian hotline 24 jam 04 – 263 07637/04 – 236 7000 atau layari laman sesawang facebook : Mppp Watch.