Bas rosak tak dialih, LLM dikutuk

Admin
(Dari kiri), ROZALI Mohamud, Lim Hock Seng, P. Ramasamy, Ketua Menteri, Ooi Chuan Aun dan Wee Chong Meng pada Majlis Perasmian WiFi percuma Peringkat DUN Perai di sini baru-baru ini.
(Dari kiri), ROZALI Mohamud, Lim Hock Seng, P. Ramasamy,
Ketua Menteri, Ooi Chuan Aun dan Wee Chong Meng pada
Majlis Perasmian WiFi percuma Peringkat DUN Perai di sini
baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUTTERWORTH – Kerosakan sebuah bas kira-kira jam 2.00 pagi serta tidak dialihkan selama hampir lapan jam telah mengakibatkan kesesakan trafik yang luar biasa di Jambatan Pulau Pinang bermula pagi 24 Mei lepas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng semasa diminta mengulas insiden tersebut, melahirkan rasa amarah terhadap pihak berwajib kerana tidak mengutamakan kepentingan pengguna jambatan berkenaan.

Beliau berkata, pihak pengurusan Jambatan Pulau Pinang sepatutnya tidak mengutip tol pada pagi tersebut memandangkan mereka gagal menjanjikan kemudahan perjalanan setimpal dengan kadar yang telahpun dibayar oleh pengguna.

“Kalau trafik sesak disebabkan kemalangan, tak boleh kutip duit tol. Ini menipu rakyat, ini menipu pengguna yang membayar tol.

“(Sehingga) jam 10 pagi, masih tak ubah (bas rosak). Jambatan Pulau Pinang ini bukan di bawah Kerajaan Negeri (Pulau Pinang), ini di bawah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM).

“Kutip duit tol diutamakan, kualiti perkhidmatan diabaikan,” ujar beliau pada satu sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran WiFi Percuma Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perai di sini baru-baru ini.

Sidang akhbar itu turut disertai Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan, Lim Hock Seng.

Guan Eng berkata, pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak wajar melakukan sesuatu memandangkan LLM di bawah kerajaan pusat demi kepentingan pengguna Lebuhraya Pulau Pinang pada masa depan.

Dalam perkembangan yang sama, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr P. Ramasamay, Ooi Chuan Aun (Pengerusi PDCTelco merangkap Ahli Parlimen Jelutong), Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandandarn Majlis Perbandaran Seberang Prai) serta Wee Chong Meng (Ketua Eksekutif REDtone) turut menyertai majlis pelancaran tersebut.