Kerajaan pusat digesa tingkat tahap pengangkutan awam negeri

Admin
CHOW Kon Yeow (tengah), Jeff Ooi Chuan Aun (kanan) dan Liew Chin Tong (kiri) menunjukkan kajian induk penambahbaikan perkhidmatan pengangkutan awam, Penang Transport Master Plan (inisiatif Kerajaan Negeri) yang dijangka lengkap pada pertengahan Jun ini di sini baru-baru ini
CHOW Kon Yeow (tengah), Jeff Ooi
Chuan Aun (kanan) dan Liew Chin
Tong (kiri) menunjukkan kajian induk
penambahbaikan perkhidmatan
pengangkutan awam, Penang
Transport Master Plan (inisiatif
Kerajaan Negeri) yang dijangka
lengkap pada pertengahan Jun ini di
sini baru-baru ini

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF

GEORGE TOWNKerajaan Negeri Pakatan Rakyat menggesa kerajaan persekutuan agar meningkatkan tahap perkhidmatan pengangkutan awam di Pulau Pinang demi keselesaan masyarakat di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Pengurusan Lalulintas, Chow Kon Yeow berkata, intipati yang menggariskan pendekatan bagi menangani masalah pengangkutan di Pulau Pinang perlu distruktur semula dan dibentangkan.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap kerajaan persekutuan dapat membentangkan rancangan jangka pendek bagi menyelesaikan masalah pengangkutan awam khususnya di Pulau Pinang, kerana ia adalah di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri dan kerajaan tempatan,” ujarnya pada majlis sidang media di sini baru-baru ini.

Turut serta adalah Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi Chuan Aun dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Liew Chin Tong.

Tambah Kon Yeow, negara perlu merombak semula struktur pentadbiran bagi menentukan masa depan yang cerah kepada sektor pengangkutan di sini. Malah, beberapa perkara juga perlu diwujudkan dan dikuatkuasakan oleh kerajaan persekutuan.

“Kerajaan persekutuan perlu mengotakan kata-katanya untuk memberikan 200 buah bas baru kepada syarikat pengendali Rapid Penang sepertimana yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia Ke-10. Kita (Pulau Pinang) juga masih menunggu penjelasan status terkini pelaksanaan monorel yang telah dicadangkan sebelum ini.

“ Manakala , Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) pula perlu menyegera dan melaksanakan sistem teksi bermeter. Sebuah stesen gas asli juga perlu dibina secepat mungkin di sini,” jelasnya

Di samping itu, Kon Yeow berkata, kesemua kerja penambahbaikan jalan  oleh kerajaan persekutuan harus diselesaikan tanpa sebarang kelewatan terutamanya projek Teluk Kumbar – Genting dan jambatan kedua melibatkan Jalan Batu Maung ke Jambatan Pulau Pinang yang berhubung terus dengan Lebuhraya Tun Lim Chong Eu.