GEORGE TOWN — Kerajaan Negeri membenarkan pemilik tanah yang menghadapi kekangan kewangan untuk membuat bayaran Cukai Tanah 2026 secara ansuran sebagai antara langkah mengurangkan beban susulan semakan kadar cukai tanah di negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, keputusan tersebut dipersetujui oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) selepas meneliti maklum balas awam, representasi serta rayuan pusingan pertama dalam mesyuarat yang berlangsung semalam (11 Mac 2026).
Menurut beliau, kemudahan bayaran ansuran itu merupakan sebahagian daripada beberapa penambahbaikan terhadap asas rayuan Cukai Tanah 2026 yang diperkenalkan bagi memastikan keadilan, ketelusan dan kesaksamaan kepada semua pemilik tanah di negeri ini.
Kerajaan Negeri turut membenarkan pemilik tanah yang menghadapi kekangan kewangan untuk membuat bayaran cukai tanah secara ansuran dengan tempoh dan kadar bayaran ansuran akan ditentukan oleh Pentadbir Tanah berdasarkan merit permohonan.
“Bagi tahun 2026, permohonan bayaran ansuran boleh dibuat sebelum 31 Mei 2026, manakala bagi tahun-tahun berikutnya permohonan bayaran ansuran perlu dikemukakan sebelum 30 April setiap tahun,” ujarnya pada sidang media di Komtar hari ini.
Hadir sama Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa, H’ng Mooi Lye serta Pengarah Pejabat Tanah dan Galian Pulau Pinang, Dato’ Dr. Faizal Kamarudin.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata bahawa kuasa undang-undang Kerajaan Negeri untuk menyemak dan melaksanakan Cukai Tanah 2026 tidak dipertikaikan, malah dihormati kerana semakan tersebut telah tertangguh sejak 30 tahun lalu.
Kerajaan Negeri melaksanakan semakan Cukai Tanah 2026 berdasarkan (peruntukan) undang-undang tanah, peraturan serta garis panduan sebagaimana termaktub dalam Kanun Tanah Negara dan Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang.
“Malah, Cukai Tanah 2026 yang disemak telah diluluskan oleh MMK dan diwartakan melalui Kaedah-Kaedah Tanah (Pindaan) (No.4) 2025 pada 11 September 2025,” katanya.
Beliau yang juga Exco Pembangunan Tanah menyatakan bahawa sebelum pelaksanaan cukai tanah baharu, Kerajaan Negeri telah memaklumkan perkara tersebut melalui kenyataan-kenyataan media serta perbahasan di Dewan Undangan Negeri (DUN) sejak dua tahun lalu.
(Semakan Cukai Tanah 2026) ini merupakan tindakan yang dirancang yang mana pada tahun 2024, perkara ini dibentangkan serta dipersetujui pada peringkat Majlis Tanah Negara dan bukannya dasar yang digubal secara tergesa-gesa.
“Maka, bagi menangani impak kepada pembayar cukai, Kerajaan Negeri telah mengambil kira dua pendekatan yang mana pertama, sebelum ini Kerajaan Negeri telah mengumumkan pemberian rebat atau diskaun kepada pembayar cukai selama tiga tahun bermula 2026, dengan diskaun sebanyak 50 peratus pada tahun pertama bagi mengurangkan beban pemilik tanah.
“Selain itu, mekanisme rayuan turut disediakan bagi membolehkan pemilik tanah mengemukakan permohonan sekiranya terdapat sebarang kesilapan dalam kategori penggunaan tanah sekarang,” jelasnya.
Mengulas lanjut, beliau memaklumkan bahawa setakat jam 9 pagi hari ini (12 Mac 2026), sebanyak 1,025 rayuan telah diterima oleh semua Pejabat Daerah dan Tanah di negeri ini.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 515 rayuan adalah berkenaan kenaikan kadar cukai yang tinggi berbanding sebelum semakan, khususnya bagi tanah First Grade, Condition A dan B, tanah tanpa kategori atau syarat nyata serta tanah yang diklasifikasikan semula daripada desa kepada bandar,” katanya.

Dalam mempertimbangkan rayuan tersebut, menurut Kon Yeow, MMK telah menegaskan bahawa semakan cukai tanah bukan hanya bertujuan meningkatkan hasil negeri, tetapi juga memperbetul ketidakselarasan dalam sistem cukai tanah sedia ada bagi memastikan prinsip keadilan, ketelusan dan kesaksamaan.
“Antara penambahbaikan lain yang turut dipersetujui MMK semalam adalah kadar cukai bagi bangunan perniagaan atau industri yang dibina di atas dua lot atau lebih akan dikenakan berdasarkan keluasan sebenar dan tidak tertakluk kepada kadar cukai minimum.
“Bagi tanah yang terlibat dalam skim perumahan yang telah diluluskan tetapi projeknya terbengkalai atau belum dimulakan, pemilik tanah boleh mengemukakan rayuan kepada Pentadbir Tanah untuk pertimbangan pengurangan kadar cukai bagi tahun semasa.
“MMK turut bersetuju mengurangkan kadar cukai bagi kegunaan kuari selepas menerima cadangan daripada Persatuan Kuari Pulau Pinang (PQA) yang mana kadar cukai kuari RM3.25 hanya dikenakan kepada lot yang mempunyai struktur berkaitan kuari seperti loji pemecah batu, bengkel, stor dan pejabat pengurusan.
“Lot lain seperti zon penampan (buffer zone), jalan masuk dan tanah lapang atau kuari yang tidak lagi beroperasi pula dikenakan kadar minimum industri sebanyak RM1,200 bagi setiap lot, tertakluk kepada jumlah tidak kurang daripada cukai sebelum semakan, dan keputusan ini dijangka mengurangkan kutipan cukai negeri sebanyak RM5 juta,” ujarnya.
Selain itu, tambah Kon Yeow, MMK turut bersetuju menurunkan kadar cukai bagi tanaman durian daripada RM800 sehektar kepada RM80 sehektar, selaras dengan kadar tanaman buah-buahan lain selepas menimbang rayuan oleh Persatuan Pekebun Buah-buahan Pulau Pinang.
“Keputusan ini melibatkan 730 lot tanah dengan keluasan 2,265 hektar dan pengurangan cukai sebanyak RM1.6 juta,” katanya.
Dalam masa sama, Kon Yeow memberitahu bahawa MMK turut memutuskan kadar cukai bagi kegunaan perniagaan dan industri akan dikira berdasarkan keluasan sebenar tanah tanpa tertakluk kepada kadar minimum RM325 bagi perniagaan dan RM1,200 bagi industri.
MMK juga bersetuju mengekalkan kadar cukai nominal bagi hak milik yang sebelum ini dikenakan antara RM1 hingga RM10 setiap lot kepada kadar tetap RM50, khususnya bagi tanah yang digunakan untuk tujuan tidak berorientasikan keuntungan seperti pertubuhan agama, kebajikan dan tanah perkuburan awam.
“Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 29,209 lot tanah menikmati kadar nominal tersebut (antara RM1 hingga RM10) sebelum semakan cukai tanah 2026 dilaksanakan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menggesa semua pemilik tanah yang terjejas supaya mengemukakan rayuan kepada Pejabat Tanah berkaitan untuk pertimbangan semula.
“Kerajaan Negeri komited memastikan sistem cukai tanah yang lebih adil, telus dan selaras dengan pembangunan semasa negeri,” tegasnya.
Berhubung isu berkaitan Rumah Pangsa Rakyat (PPR) Bola Bola di Raja Uda, Butterworth yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Bagan, beliau memaklumkan bahawa bangunan pangsapuri tersebut masih belum memiliki hak milik strata.
“Maka kiraan cukai tanah yang sepatutnya dikenakan adalah berdasarkan keluasan tanah, lokasi dan kegunaan tanah iaitu bangunan kediaman dan kadar cukai yang terkandung dalam Kaedah-Kaedah Tanah Pulau Pinang.
“Tindakan pembetulan kiraan kadar cukai yang sebenar akan dilaksanakan oleh Pejabat Tanah berkenaan,” katanya.
Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : SIEW CHIA EN