GEORGE TOWN – Penang FC melayakkan diri ke perlawanan akhir Challenge Cup 2025/2026 setelah menumpaskan Kelantan TRW FC menerusi agregat 6-2.

Pada aksi timbal balik kedua di Stadium Bandaraya malam tadi Penang FC cemerlang menutup peluang pasukan lawan dengan kemenangan 1-0.
Gol tunggal hadir menerusi kapten pasukan Stefano Brundo yang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 setelah bola terkena tangan pertahanan Kelantan TRW FC Alaxandre Yeoule.
Mengulas tentang perlawanan, Ketua Jurulatih Penang FC, Wan Rohaimi Wan Ismail beliau bersyukur anak-anak buahnya layak ke perlawanan akhir Challenge Cup untuk bertemu Sabah FC.
“Namun secara keseluruhan saya masih kurang berpuas hati dengan permainan mereka, tetapi mengambil kira perlawanan yang padat, perlu beraksi di luar mungkin jadi faktor keletihan.

“Tetapi itu bukan alasan bagi pemain bola sepak profesional kita kena hadapi perkara-perkara macam ini pada peringkat tertinggi,” ujarnya dalam satu sidang media sejurus tamat perlawanan.
Ditanya mengenai persembahan pasukan, Wan Rohaimi mengakui akan memperbaiki kelemahan pasukannya terutamanya apabila mendahului pasukan lawan.
“Faktor buat keputusan perlu ditambah baik dari segi membuat keputusan tepat dalam keadaan yang sukar, yang mana waktu itu lawan akan bagi tekanan dan akan dihukum (bolos), perkara begini kena post moterm tentang apa yg tidak tepat,” tegasnya.
Menyentuh tentang perlawanan akhir, beliau masih belum mahu memikirkan peluang Penang FC kerana mahu fokus perlawanan demi perlawanan terutamanya memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.
Penang FC akan bertemu Kuching City FC (Liga Super) 14 Mac ini di Stadium Bandaraya manakala perlawanan akhir Challenge Cup aksi pertama pada 4 April juga di laman sendiri.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMMAD IQBAL HAMDAN