GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan Belanjawan Negeri 2027 dengan anggaran hasil sebanyak RM1.069 bilion dan defisit hanya RM5.62 juta, sekali gus mencatatkan unjuran defisit terendah dalam sejarah belanjawan negeri ini.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata, anggaran hasil berkenaan meningkat RM0.8 juta atau 0.07 peratus berbanding RM1.068 bilion pada 2026, mencerminkan usaha berterusan Kerajaan Negeri dalam memperkukuh kedudukan fiskal dan memastikan pengurusan kewangan yang berhemat.
Menurut beliau, anggaran hasil sebanyak RM1.069 bilion itu mengambil kira anggaran perbelanjaan negeri berjumlah RM1.074 bilion, berbanding unjuran defisit RM19.92 juta pada tahun sebelumnya.
“Belanjawan Tahun 2027 menyaksikan anggaran defisit terendah dalam sejarah Belanjawan Negeri Pulau Pinang iaitu sebanyak RM5.62 juta berbanding unjuran defisit tahun 2026 sebanyak RM19.92 juta,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Negeri Pulau Pinang 2027 sempena Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Ke-15 di Dewan Undangan Negeri di sini sebentar tadi.
Kon Yeow menyatakan bahawa daripada keseluruhan anggaran hasil negeri, sebanyak RM224.94 juta dijangka diperoleh menerusi Hasil Cukai, manakala RM566.11 juta daripada Hasil Bukan Cukai dan RM277.79 juta daripada Terimaan Bukan Hasil.
Menurut beliau, Hasil Bukan Cukai kekal sebagai penyumbang utama kepada pendapatan negeri, khususnya menerusi unjuran penerimaan bayaran premium dan bayaran khas serta pulangan faedah pelaburan yang konsisten.
Bagi prestasi kutipan hasil semasa, Kon Yeow memberitahu bahawa Kerajaan Negeri telah mengutip RM847.53 juta bagi tempoh Januari hingga 30 Oktober 2026, bersamaan 79.35 peratus daripada sasaran tahunan.
“Kerajaan Negeri akan terus memantau prestasi kutipan hasil dan mempergiat tindakan susulan bersama jabatan pemungut bagi memastikan sasaran hasil tahun 2026 berjumlah RM1.068 bilion dapat dicapai,” ujarnya.
Dalam pada itu, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berkata bahawa Rang Undang-Undang Perbekalan 2027 dibentang bagi mendapatkan kelulusan berkanun untuk Perbelanjaan Bekalan berjumlah RM1.042 bilion.
Selain itu, sebanyak RM31.92 juta diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan berdasarkan undang-undang di bawah Kumpulan Wang Disatukan, menjadikan jumlah keseluruhan anggaran perbelanjaan negeri tahun depan sebanyak RM1.074 bilion.
Daripada jumlah itu, komponen Perbelanjaan Mengurus merangkumi RM231.80 juta bagi emolumen, RM219 juta untuk perkhidmatan dan bekalan, RM4.32 juta bagi aset, RM607.96 juta untuk pemberian dan kenaan bayaran tetap serta RM11.38 juta bagi perbelanjaan lain.
Beliau memberitahu bahawa anggaran Perbelanjaan Mengurus 2027 menunjukkan penurunan RM13.49 juta atau 1.24 peratus berbanding tahun ini, dengan pengurangan ketara melibatkan pemberian dan kenaan bayaran tetap serta perbelanjaan lain.
Walau bagaimanapun, peruntukan emolumen meningkat RM5.07 juta atau 2.24 peratus berikutan kenaikan gaji tahunan penjawat awam.
Peruntukan perkhidmatan dan bekalan turut meningkat RM17.47 juta atau 8.67 peratus, antaranya disebabkan kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 yang dijadualkan berkuat kuasa mulai Jun 2027.
Kenaikan itu dijangka meningkatkan kos kontrak Kerajaan Negeri bagi perkhidmatan pembersihan, penyelenggaraan, keselamatan dan perkhidmatan berkontrak sedia ada.
Selain itu, peningkatan kos penganjuran majlis rasmi peringkat negeri serta kenaikan harga bahan bakar turut menyumbang kepada pertambahan perbelanjaan berkenaan.
Perbelanjaan aset pula meningkat RM630,000 atau 17.12 peratus, khususnya bagi perolehan dan penggantian aset alih termasuk kenderaan.
Sebaliknya, peruntukan bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap menurun RM36.63 juta atau 5.68 peratus, antaranya susulan pengurangan caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri (KWPN) daripada RM265 juta pada 2026 kepada RM240 juta pada 2027.
Penurunan itu turut mengambil kira pelarasan geran mengurus kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC), badan berkanun negeri dan agensi negeri serta keperluan peruntukan Jawatankuasa Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) bagi tahun depan.
Bagi perbelanjaan pembangunan, Kon Yeow menyatakan bahawa Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan sebanyak RM280.17 juta bagi 2027, berkurangan RM38.4 juta atau 12.1 peratus berbanding tahun ini.
Menurutnya, walaupun berdepan keperluan pembangunan yang semakin mencabar, Kerajaan Negeri akan terus mengutamakan projek strategik yang mampu memperkukuh kapasiti negeri, meningkatkan kualiti hidup serta memberikan manfaat nyata kepada rakyat.
“Sebanyak 514 projek disenaraikan untuk pelaksanaan tahun depan, meliputi pembangunan infrastruktur awam, kemudahan masyarakat, pembangunan sukan dan projek strategik ekonomi.
“Antara keutamaan ialah projek yang memperkukuh jaringan pengangkutan dan kesalinghubungan negeri, termasuk pengambilan tanah bagi pelaksanaan projek Transit Aliran Ringan (LRT), Airport Link Road dan laluan ke Pulau Silikon.
“Turut diberi perhatian ialah pembangunan Gurney Bay Fasa 2 serta projek berkaitan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP),” jelas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan.
Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow menyatakan bahawa Pulau Pinang sekali lagi menerima Sijil Ketua Audit Negara Tanpa Teguran bagi Penyata Kewangan Kerajaan Negeri untuk tahun berakhir 31 Disember 2025 pada 29 Jun 2026.
Tambah beliau, pencapaian itu mencerminkan pengurusan kewangan negeri yang berdisiplin, selain prestasi kutipan hasil dan kedudukan fiskal yang terus menunjukkan perkembangan positif.
Menurutnya, kutipan hasil Kerajaan Negeri meningkat kepada RM1.26 bilion pada 2025 berbanding RM810.46 juta pada 2024 iaitu pertambahan RM449.52 juta atau 55.46 peratus.
“Prestasi belanjawan negeri bagi 2025 turut mencatatkan lebihan RM366.93 juta, berbanding defisit RM174.09 juta pada 2024.
“Susulan pencapaian itu, baki Akaun Hasil Disatukan (AHD) meningkat daripada RM155.94 juta pada akhir 2024 kepada RM522.87 juta pada akhir 2025.
“Malah, sehingga 30 Oktober 2026, baki AHD negeri telah meningkat lagi kepada RM651.28 juta,” ulasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar: NOOR SITI NABILAH NOORAZIS & SIEW CHIA EN
Video : LAW SUUN TING