Belanjawan Pulau Pinang 2027: Harapan rakyat, pembangunan inklusif dan kesejahteraan bersama

Admin
belanjawan pulau pinang 2027

MENJELANG pembentangan Belanjawan Pulau Pinang 2027 pada 30 Oktober ini, harapan rakyat bukan sekadar tertumpu kepada pengumuman peruntukan baharu, sebaliknya sejauh mana dasar dan inisiatif yang dirangka mampu meringankan beban kos sara hidup, memperkukuh peluang pekerjaan serta menjamin kesejahteraan masyarakat secara menyeluruh.

Dalam keadaan ekonomi yang terus berubah, belanjawan negeri menjadi instrumen penting bagi memastikan pertumbuhan ekonomi dapat dinikmati oleh semua lapisan masyarakat, termasuk golongan berpendapatan rendah, anak muda, warga emas dan peniaga kecil yang berdepan pelbagai cabaran kewangan.

Tinjauan Buletin Mutiara di lapangan sejak beberapa hari lalu mendapati, responden daripada pelbagai latar belakang mengharapkan belanjawan kali ini memberi tumpuan kepada keperluan rakyat, daripada pengukuhan pendidikan dan peluang pekerjaan hingga pemerkasaan usahawan kecil, kemudahan untuk golongan rentan serta pembangunan ekonomi yang lebih inklusif.

whatsapp image 2024 02 26 at 12.30.36
ONG Bee Leng.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), DATO’ ONG BEE LENG berharap Belanjawan Pulau Pinang 2027 bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengagihan peruntukan, malah memastikan manfaatnya dapat dinikmati secara adil oleh seluruh lapisan masyarakat menerusi pendekatan Gender Responsive and Participatory Budgeting (GRPB).

Beliau berkata, pendekatan GRPB perlu terus diperkasa bagi memastikan setiap dasar, program dan peruntukan mengambil kira keperluan serta realiti kehidupan masyarakat yang berbeza, termasuk warga emas, orang kurang upaya (OKU), wanita, lelaki, kanak-kanak, golongan berpendapatan rendah dan keluarga rentan.

“Belanjawan negeri bukan sekadar menentukan ke mana wang dibelanjakan, tetapi memastikan siapa yang menerima manfaat daripada setiap peruntukan,” ujarnya.

Menurut beliau, keperluan setiap kumpulan masyarakat perlu diberikan perhatian sewajarnya, termasuk penyediaan persekitaran mesra usia untuk warga emas, kemudahan yang mudah diakses oleh golongan OKU serta peluang yang saksama kepada wanita dan lelaki.

Beliau turut menegaskan bahawa kanak-kanak berhak membesar dalam persekitaran yang sihat dan selamat, manakala golongan berpendapatan rendah, keluarga rentan serta komuniti yang memerlukan sokongan tambahan tidak seharusnya dipinggirkan dalam agenda pembangunan negeri.

Pembangunan yang bermakna bukan sekadar tentang sejauh mana Pulau Pinang melangkah ke hadapan, tetapi sejauh mana setiap rakyat dapat melangkah bersama,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mahu melihat setiap peruntukan yang disediakan mampu membawa manfaat nyata kepada rakyat, memperkukuh kesejahteraan masyarakat dan membina Pulau Pinang sebagai negeri yang lebih inklusif, adil serta saksama, selaras dengan prinsip tiada sesiapa yang tercicir (no one is left behind).

whatsapp image 2026 10 12 at 14.35.28
DR. Nik Norliati Fitri Md. Nor.

Sementara itu, Pakar Demografi dan Penuaan Penduduk, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia (USM), DR. NIK NORLIATI FITRI MD. NOR berharap Belanjawan Pulau Pinang 2027 memberikan penekanan kepada pengukuhan pendidikan, pembangunan modal insan dan penyelidikan yang dapat menyumbang secara langsung kepada kesejahteraan masyarakat serta kemajuan negeri.

Menurut beliau, perubahan demografi penduduk, khususnya peningkatan populasi warga emas, perubahan struktur keluarga dan keperluan generasi muda, perlu diberikan perhatian dalam perancangan pembangunan negeri.

Pendekatan ‘Belanjawan Mesra Perubahan Demografi’ wajar diberikan perhatian bagi memastikan dasar dan peruntukan yang dirangka responsif terhadap keperluan penduduk pada masa kini dan akan datang,” katanya.

Beliau turut berharap kerjasama strategik antara Kerajaan Negeri, institusi pengajian tinggi dan industri diperkukuh, terutama dalam penyelidikan berasaskan bukti, pendidikan sepanjang hayat serta pembangunan kemahiran masyarakat.

Tambahnya, kejayaan pembangunan Pulau Pinang bukan sahaja diukur berdasarkan pertumbuhan ekonomi, malah keupayaan melahirkan masyarakat berilmu, berdaya tahan dan bersedia menghadapi perubahan demografi.

“Pembangunan negeri perlu memastikan masyarakat bukan sahaja menikmati kemajuan ekonomi, tetapi turut bersedia menghadapi perubahan demografi pada masa hadapan,” katanya lagi.

17c5ce43 3039 4d5d b1f0 d9e29c410976
PROFESOR Dr. Tan Yen Wooi.

Dari sudut ekonomi pula, Presiden Association of Certified Accountants, Malaysia (ACA Malaysia), PROFESOR DR. TAN YEN WOOI ketika dihubungi, berharap Belanjawan Pulau Pinang 2027 memberi keutamaan kepada pengukuhan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), penambahbaikan infrastruktur serta keselamatan pelancongan dan peluasan manfaat pelaburan kepada perniagaan tempatan.

Beliau berkata, sokongan kepada PMKS perlu merangkumi bantuan pendigitalan, peningkatan kemahiran pengurusan kewangan serta pemudahan urusan perniagaan bagi membantu perusahaan tempatan kekal berdaya saing.

PMKS bukan sahaja memerlukan bantuan kewangan, malah memerlukan pengetahuan perniagaan yang betul, bimbingan profesional dan persekitaran perniagaan yang kondusif untuk mencapai pertumbuhan yang mampan,” tegasnya.

Dalam sektor pelancongan, beliau mencadangkan penambahbaikan pengangkutan awam, kemudahan infrastruktur dan keselamatan di kawasan tumpuan pelancong, selain pembangunan destinasi baharu yang membolehkan lebih banyak komuniti menikmati manfaat ekonomi.

Beliau juga menekankan kepentingan membantu PMKS tempatan menyertai rantaian bekalan syarikat multinasional menerusi peningkatan keupayaan teknikal, pensijilan dan kerjasama industri.

“Pembangunan Pulau Pinang pada masa hadapan tidak seharusnya hanya dinilai berdasarkan jumlah pelaburan besar atau bilangan pelancong yang berjaya ditarik masuk,” katanya.

Sebaliknya, beliau berkata bahawa kejayaan belanjawan perlu diukur berdasarkan sejauh mana pelaburan merangsang pertumbuhan perniagaan tempatan, mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik dan meningkatkan kualiti hidup rakyat, di samping memastikan setiap peruntukan awam digunakan secara berhemah.

whatsapp image 2026 10 21 at 21.57.52
MOHAMAD Syamil Aliff Syahrul Nizar.

Bagi golongan muda dan masyarakat luar bandar, MOHAMAD SYAMIL ALIFF SYAHRUL NIZAR meletakkan harapan agar Belanjawan Pulau Pinang 2027 terus mengutamakan kesejahteraan rakyat, khususnya golongan belia, keluarga berpendapatan rendah dan sederhana serta masyarakat luar bandar.

Beliau yang merupakan Pembantu Khas kepada Exco berkata, golongan sasaran ini perlu diberikan perhatian melalui penyediaan peluang pekerjaan yang lebih luas, bantuan pemilikan rumah untuk golongan muda, pemerkasaan usahawan kecil serta penambahbaikan kemudahan asas dan infrastruktur, terutama di kawasan luar bandar.

Tambah beliau, sokongan bersasar kepada keluarga yang berdepan tekanan kos sara hidup dan golongan muda yang baru memulakan kerjaya penting bagi membantu mereka membina kehidupan yang lebih stabil serta meningkatkan taraf sosioekonomi.

Dalam keadaan kos sara hidup yang semakin mencabar, belanjawan negeri bukan sahaja perlu memacu pertumbuhan ekonomi, malah memastikan manfaat pembangunan dapat dinikmati secara adil dan menyeluruh oleh rakyat,” katanya.

Jelas beliau, kemajuan negeri tidak seharusnya diukur berdasarkan pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut dinilai berdasarkan keupayaan meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat.

whatsapp image 2026 10 26 at 11.04.15
SITI Humaira Mohamed Yasin.

Sementara itu, SITI HUMAIRA MOHAMED YASIN mahu Kerajaan Negeri memperluas kemudahan Taman Asuhan Kanak-Kanak (TASKA) komuniti mampu milik berhampiran kawasan perindustrian seperti Bayan Lepas, Perai dan Batu Kawan bagi mengurangkan kos penjagaan anak serta meringankan beban ibu bekerja.

Beliau yang juga alumni Sidang Wanita Pulau Pinang, turut mencadangkan peningkatan dana mikro menerusi Jabatan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (JPWK) dan agensi negeri bagi membantu wanita berniaga dari rumah serta ibu tunggal mendapatkan modal dan peralatan untuk mengembangkan perniagaan.

Bantuan yang mudah diakses dapat membantu golongan wanita menjana pendapatan sendiri dan membina kemandirian ekonomi secara mampan,” katanya.

Selain itu, beliau berharap skim sewa-beli (rent-to-own) diperluas dengan syarat lebih realistik bagi membantu golongan muda dan pasangan baharu memiliki rumah, khususnya mereka yang berdepan kekangan wang pendahuluan serta kelayakan pinjaman bank.

Menurutnya, inisiatif perumahan yang lebih mampu milik penting bagi memastikan golongan muda berpeluang memiliki kediaman sendiri tanpa terpaksa berhijrah keluar dari Pulau Pinang akibat harga hartanah yang tinggi.

whatsapp image 2026 10 21 at 16.42.14
A. Sangeetha.

Dalam pada itu, Pertubuhan Suara Sanatana Pulau Pinang berharap Belanjawan Pulau Pinang 2027 memberi perhatian kepada kestabilan tanah rumah ibadat bukan Islam, pemerkasaan usahawan mikro, bantuan pendidikan tinggi serta peluang kerjaya yang lebih inklusif dalam sektor awam negeri.

Pengerusinya, A. SANGEETHA sempat berkongsi empat cadangan utama bagi memastikan pembangunan negeri memberi manfaat kepada seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Antara cadangan tersebut adalah penyediaan pelan tindakan serta pembiayaan mampan bagi urusan pewartaan dan hak milik tanah rumah ibadat bukan Islam (RIBI), selain bantuan modal mikro, geran permulaan dan latihan digital untuk membantu golongan belia, wanita serta suri rumah luar bandar menceburi perniagaan.

Beliau turut mencadangkan penubuhan dana pendidikan khas bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan sederhana memperoleh akses kepada pendidikan tinggi serta latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Selain itu, beliau berharap peluang perkhidmatan dalam agensi kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan diperluas kepada tenaga profesional serta bakat tempatan yang berkelayakan, dengan mengambil kira kepelbagaian kepakaran dan demografi penduduk.

Kami percaya di bawah kepimpinan Kerajaan Negeri hari ini, Belanjawan 2027 akan terus meletakkan kebajikan rakyat sebagai keutamaan,” katanya.

Tambah beliau, cadangan berkenaan mencerminkan aspirasi masyarakat untuk melihat Pulau Pinang terus maju secara adil dan saksama, selaras dengan matlamat Visi Penang2030.

whatsapp image 2024 11 25 at 16.01.39 f3e9db50
M. Daneswaran.

Bagi graduan USM, M. DANESWARAN, Bajet Pulau Pinang diharap dapat memperluas peluang latihan industri berbayar, bekerja sambil belajar serta latihan kemahiran digital dan kecerdasan buatan (AI), termasuk kepada pelajar TVET.

Menurutnya, inisiatif tersebut penting bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan serta mempersiapkan golongan muda memenuhi keperluan industri elektrik dan elektronik (E&E) serta sektor teknologi, sekali gus membuka peluang membina kerjaya di negeri sendiri tanpa perlu berhijrah.

Selain peluang pekerjaan dan latihan kemahiran, saya berharap lebih banyak bantuan kewangan disediakan melalui biasiswa, bantuan kepada pelajar daripada keluarga B40 dan M40 serta dana kecemasan bagi memastikan tiada pelajar terpaksa menamatkan pengajian akibat kekangan kewangan,” katanya.

whatsapp image 2026 10 21 at 17.18.14
NUR Shahida Abdul Araff.

Sementara itu, usahawan kuih tradisional, NUR SHAHIDA ABDUL ARAFF, berharap Kerajaan Negeri dapat memperluas peluang kepada peniaga kecil melalui bantuan peralatan dan kewangan, penyediaan premis perniagaan pada kadar berpatutan serta proses permohonan yang lebih mudah.

Menurutnya, selepas 10 tahun berniaga, beliau hanya memperoleh ruang niaga selepas lapan tahun. Justeru, beliau berharap lebih banyak kemudahan dan peluang disediakan bagi membantu usahawan kecil mengembangkan perniagaan.

Selain itu, beliau mencadangkan agar lebih banyak latihan keusahawanan dan pembangunan produk dianjurkan bagi meningkatkan pengetahuan serta daya saing peniaga kecil.

Beliau turut berharap Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan dapat menganjurkan lebih banyak acara perniagaan dengan kadar sewaan reruai yang berpatutan bagi membantu usahawan memasarkan produk ke pasaran lebih luas.

Bagi peniaga kecil, modal sangat penting, jika sewa reruai terlalu mahal sehingga melebihi hasil jualan, sukar untuk kami memperoleh keuntungan,” katanya.

Tuntasnya, harapan terhadap Belanjawan Pulau Pinang 2027 menjangkaui angka peruntukan dan pengumuman projek baharu. Sebaliknya, keberkesanan belanjawan ini perlu dinilai berdasarkan keupayaannya menangani keperluan sebenar rakyat, membuka lebih banyak peluang kemajuan kepada golongan muda, memperkukuh perniagaan tempatan serta memastikan golongan rentan tidak terpinggir, selaras dengan aspirasi Visi Penang2030 untuk menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri pintar dan hijau yang berteraskan keluarga inspirasi negara.

Belanjawan yang benar-benar bermakna adalah belanjawan yang menterjemahkan pertumbuhan ekonomi kepada peluang dan kesejahteraan bersama. Dengan meletakkan kepentingan rakyat sebagai teras setiap dasar dan keputusan, Pulau Pinang bukan sahaja mampu memperkukuh daya saingnya, malah merealisasikan aspirasi Visi Penang2030 ke arah membina masa depan yang lebih inklusif, saksama dan mampan untuk semua.

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI