Belia & wanita digesa rebut peluang tingkat kemahiran diri

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI

Gambar : SHUM JIAN WEI

 

TANJUNG BUNGA – Seramai 12 peserta termasuk ibu tunggal yang menyertai Kursus Solekan dan Dandanan Rambut (Lanjutan) berjaya memperoleh sijil pentauliahan penganjuran program berkenaan di sini baru-baru ini.

Penyelia kilang, Nor Sofina Sofian, 40, berkata, beliau amat teruja apabila dapat menyertai kursus tersebut.

“Ini merupakan pengalaman baru dan kini saya rasa lebih berani dan yakin kalau diminta untuk mekap (solek) orang lain,” katanya kepada Buletin Mutiara di sini baru-baru ini.

Nada sama turut dikongsi dua sahabat Tan Hoon Chuan, 53 dan A. Sarogine Deevee, 38. “Selain belajar teknik mekap dan dandanan, saya juga dapat kenal ramai peserta lain dan kami semua kini adalah ‘kawan-kawan’,” ujar Hoon Chuan.

Manakala Sarogine Deevee pula berhasrat untuk mempraktikkan pengetahuan diperoleh sebagai landasan bagi menjana pendapatan.

Kursus diadakan secara intensif selama empat hari itu ditaja sepenuhnya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga, Teh Yee Cheu dengan kerjasama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Sungai Emas serta pemilik syarikat persolekan dan dandanan, Na’ilah Enterprise, Azlyanna D. Cornelies.

Dalam pada itu, Yee Cheu ketika ditemui memberitahu, kursus diadakan adalah bagi membantu komuniti setempat khususnya ibu-ibu tunggal dan suri rumahtangga sepenuh masa memperoleh pendapatan sampingan di samping meningkatkan keyakinan dan ketrampilan.

“Pada masa hadapan, saya akan adakan lebih banyak kursus jangka pendek seperti ini untuk memberi ruang dan peluang kepada komuniti setempat memperbaiki ekonomi keluarga.

“Oleh itu, saya ingin menggesa golongan belia dan wanita merebut peluang-peluang sebegini untuk meningkatkan kemahiran diri masing-masing,” seru Yee Cheu