Beri lesen judi bidang kuasa Pusat, respons Guan Eng

Admin

GEORGE TOWN – Isu percambahan pusat judi haram di Pulau Pinang yang dibangkitkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Datuk Seri Dr. Wee Ka Siong jika benar-benar berlaku, sepatutnya ditangani oleh Kerajaan Persekutuan sendiri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyanggah kenyataan Menteri berkenaan berjudul ‘Wee: Crackdowns need collaboration’ yang dilaporkan dalam media atas talian pada 30 Mei lepas.

“Isu judi haram di bawah bidang kuasa Kerajaan Persekutuan, maka perlulah ditangani oleh Kerajaan Pusat, dan bukan babit Kerajaan Negeri.

“Lagipun, CPO (Ketua Polis Negeri) telahpun nafi bahawa Pulau Pinang paling banyak ada aktiviti pusat judi haram,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan dalam sidang media di sini baru-baru ini.

Justeru, Guan Eng mendesak Ka Siong yang juga Timbalan Presiden MCA memberi respons lanjut kepada CPO, dengan mengemukakan bukti-bukti terperinci mengenai tuduhannya itu yang membabitkan kepentingan awam di Pulau Pinang.

Sementara itu, dalam sidang media berasingan, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang sedia bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengatasi masalah pusat judi haram di negeri ini.

Menurutnya, langkah tersebut turut akan disokong oleh Kerajaan Tempatan iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

“Kita (Kerajaan Negeri) memang sedia bekerjasama dengan pihak polis bagi mengatasi masalah ini.

“Kerajaan Negeri akan serah kepada polis untuk menguruskannya kerana mereka yang beroperasi secara haram yang tidak mempunyai lesen, hanya pihak polis boleh mengambil tindakan.

“Dan tentu kita (Kerajaan Tempatan) akan berikan kerjasama dan sokongan termasuk daripada MBPP mahupun MPSP,” ujarnya.

Tambah Guan Eng, selain menjalin kerjasama bersama-sama pihak polis, Kerajaan Negeri turut mengambil inisiatif untuk mengharamkan perniagaan tersebut dan menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang bertanggungjawab mengeluarkan lesen judi.

“Lesen judi dikeluarkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Jadi, saya tak faham mengapa Datuk Wee Ka Siong (Timbalan Presiden MCA) menyatakan bahawa perkara ini serius di Pulau Pinang.

“Kerajaan Tempatan ataupun Kerajaan Negeri tak mengeluarkan sebarang lesen judi, oleh itu tuduhan itu kita (Kerajaan Negeri) rasa hanyalah sebagai serangan politik.

“Sedangkan kita (Kerajaan Negeri) tahu yang ada masalah adalah negeri lain, tetapi beliau (Ka Siong) cuba alihkan perhatian daripada masalah negeri lain dan tumpu kepada Pulau Pinang,” jelasnya.