Tiada penjawat awam dibuang kerja, sebaliknya ditambah

Admin

SUNGAI DUA – Tiada seorang pun penjawat awam disingkirkan selepas pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang berpindah tangan di bawah Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sejak Mac 2008.

Justeru, Guan Eng memberitahu, rakyat khususnya penjawat awam dirayu memberi sokongan kepada Pakatan Harapan tanpa perlu bimbang dengan risiko hilang pekerjaan, jika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tumbang melalui proses dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

“Apabila kita ambil alih tampuk pemerintahan Kerajaan Negeri, kita tidak buang walaupun seorang pegawai kerajaan atau anggota pentadbiran awam.

“Mana ada kita buang anggota pentadbiran awam, sebaliknya, kita tambah lagi seperti di MPSP, kerjakerja pembersihan 100 peratus diambil alih dan diisi oleh warganegara,” ujarnya pada Majlis Pelancaran Pusat Khidmat Komuniti Sungai Dua di sini baru-baru ini.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri sejak 2010 menambah bilangan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) menjadi 291 jawatankuasa dengan keanggotaan seramai 4,500.

“Pada tahun 2016, perbelanjaan pengurusan JKKK termasuk elaunelaun yang dibayar oleh Kerajaan Negeri adalah sebanyak RM6,362,160, berbanding Kerajaan dahulu (BN sebelum tahun 2008) hanya RM788,940.

“Peruntukan pengurusan JKKK bagi tahun 2017 sebanyak RM6.5 juta…elaun pengerusi dinaikkan daripada RM450 kepada RM700 sebulan, begitu juga elaun Setiausaha daripada RM150 kepada RM600 sebulan, elaun kehadiran mesyuarat bagi anggota JKKK daripada RM30 dan kini RM50 bagi setiap kali hadir mesyuarat,” jelasnya sambil menggesa semua anggota JKKK negeri mengukuhkan sokongan rakyat kepada Pakatan Harapan.

Sebelum itu, Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH) Tuan Haji Mohamad Sabu menyatakan bahawa rakyat harus berani membawa perubahan pada PRU14 secara proses pilihan raya.

Tambah beliau, jika Pakatan Harapan juga tidak mampu mentadbir negara selepas ini, rakyat mempunyai kuasa untuk menumbangkan pakatan politik itu menggunakan proses pilihan raya juga.