Berjaya ke Liga Super , FAP terima insentif PBAPP RM3 juta

GEORGE TOWN – Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang (FAP) baru-baru ini menerima suntikan insentif berjumlah RM3 juta dari Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) selaku penaja utama Skuad Harimau Kumbang itu.

Penyampaian cek insentif disempurnakan Pengurus Besar PBAPP, Ir. Jaseni Maidinsa di hadapan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Presiden FAP, Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti, Chong Eng, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Bendahari FAP, Datuk M. Murly turut sama dalam majlis berkaitan.

Guan Eng dalam pada itu menyifatkan pemberian insentif sebanyak RM3 juta adalah sebagai meraikan kejayaan Skuad Harimau Kumbang kembali ke Liga Super pada musim hadapan.

“Tahniah skuad Pulau Pinang kerana berjaya mencapai matlamat yang ditetapkan iaitu dari Liga Perdana ke Liga Super untuk musim hadapan.

“Kejayaan ini sememangnya dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak Pulau Pinang, walaupun sukar, saya berharap skuad Pulau Pinang dapat kekal dalam Liga Super,” katanya dalam sidang media sejurus menyempurnakan penyampaian cek tersebut di sini baru-baru ini.

Bagi Nazir Ariff, beliau menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan yang tidak berbelah bahagi Kerajaan Negeri dan PBAPP sehingga berjaya ke Liga Super pada musim depan.

“Terima kasih kepada Ketua Menteri, PBAPP, PDC (Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang) dan seluruh penyokong termasuk ahli-ahli FAP atas sokongan yang jitu sepanjang musim lalu.

“Begitu juga kepada Dato’ (Mohd. Rashid), YB Chong Eng dan Dr. Afif kerana selalu datang ke stadium menonton perlawanan skuad kita pada musim lalu.

“Kami di FAP pastinya berharap agar Kerajaan Negeri dan PBAPP dapat terus memberi sokongan untuk kami terus mengorak kejayaan seterusnya dalam Liga Super nanti,” ujar beliau.

Dalam majlis sama, Nazir Ariff turut mengumumkan dua pemain Pulau Pinang yang bakal menyertai Skuad Kebangsaan, Harimau Malaya iaitu Mohd. Faiz Subri dan Yong Kuong Yong.

Tahniah Skuad Harimau Kumbang. Haria Penang Haria!

} else {