KN ambil berat kebajikan penjaja P. Pinang – Rashid

GEORGE TOWN – Penganjuran Festival Usahawan dan Penjaja Pulau Pinang 2015 (FUP) menerima sambutan luar biasa apabila seramai 60 penjaja dan usahawan tempatan mengambil bahagian dalam penganjurannya di sini baru-baru ini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon berkata, penganjuran FUP kali ini telahpun memasuki tahun ke-tujuh dan saban tahun penyertaan penjaja pasti bertambah.

“Pastinya ia (penganjuran FUP) sejajar dengan hasrat Kerajaan Negeri untuk memperkasa dan membangunkan modal insan melalui keusahawanan dan perniagaan,” ucapnya pada Majlis Perasmian FUP 2015 di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Penolong Pegawai Daerah Barat Daya, Syamsul Fitry Ahmad dan Penghulu Parlimen Bukit Bendera, Othman Mahmud.

Menurut Mohd. Rashid, Kerajaan Negeri memperkenalkan pelbagai inisiatif dan intensif bagi memastikan pembangunan sektor keusahawanan serta penjaja dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan berstruktur.

“Kita (Kerajaan Negeri) juga mengambil berat kebajikan penjajapenjaja di Pulau Pinang terutamanya penjaja-penjaja kecil di negeri ini.

“Selain itu, dalam memastikan keaslian makanan Pulau Pinang, Kerajaan Negeri juga melaksanakan Dasar Larangan Warga Asing Memasak Makanan Tempatan selain menjamin ketulenan rasa masakan tempatan,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Keusahawanan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat.

FUP 2015 anjuran Pejabat MMK Pembangunan Usahawan menyaksikan penyertaan usahawan dan penjaja dengan pelbagai jenis sajian termasuk citarasa masakan Melayu tradisional, masakan Nyonya, citarasa antarabangsa, masakan Cina dan masakan India.

Antara nama-nama penjaja dan usahawan terkenal yang menyertai FUP 2015 adalah Ah Basri Food Sdn. Bhd. (sate Ah Basri), Koo Boo Cafe (Nasi Tujuh Benua), Laksa Tempurung Teluk Kumbar, QQ Chee Cheong Fan, Loo Kee Seafood (char kuih kar), Jeruk Pak Ali, Jalil Special Ice Kacang & Coconut Shake dan JT F&B Group Sdn. Bhd. (pasta).

Turut memeriahkan penganjuran, persembahan istimewa ‘Roti Canai Terbang’ daripada Mamu Roti Canai.