Berlatih dengan RAMD kunci kejayaan MBPP juara kawad Hari Kebangsaan

74787211 fe3d 44a4 8926 2ef88d007f17

BERKAT latihan keras berlatih bersama Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), kontinjen kawad Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dinobatkan sebagai Juara Kawad Kaki Kategori Sektor Awam sempena Hari Kebangsaan Kali Ke-69 Peringkat Negeri Pulau Pinang 31 Ogos lalu.

9540eb34 5d2a 455d b543 ed8dba9b08f3

Lebih manis, kejayaan tersebut dirangkul bersama kategori Pakaian Terbaik dan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 (setiap kemenangan), piala pusingan dan pialan iringan.

e9849556 1482 4798 a996 1a0b6cdff47a

Ketua Kontinjen MBPP, ZULKIFLI ISMAIL memberitahu, persediaan bagi menghadapi pertandingan berkenaan dilakukan selama dua bulan menerusi 16 sesi latihan bersama sesi angkatan beruniform tersebut.

“Sebanyak 14 sesi latihan diadakan di Padang Kota Lama, manakala dua lagi sesi berlangsung di kem RAMD, Sungai Ara pada 4 dan 10 Ogos lalu.

“Persediaan kami adalah selama dua bulan. Pada bulan Julai, latihan dijalankan oleh kami sendiri, termasuk saya seorang lagi anggota Penguatkuasa, Shafiq Shafie.

“Memasuki fasa kedua pada bulan Ogos, kami mendapat bantuan dua anggota RAMD untuk melatih pasukan dan pendedahan di kem memberi pengalaman kepada anggota untuk merasai sendiri suasana latihan kawad seperti anggota tentera,” ujarnya ketika ditemui wartawan Buletin Mutiara, WATAWA NATAF ZULKIFLI dan jurugambar, ALISSALA THIAN dekat Dewan Perbandaran MBPP, Padang Kota di sini pagi tadi.

ca88f912 9274 4e2f 938c adb5df4da1fa

Turut serta, kakitangan Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, Nurashikin Zainol dan Pembantu Tadbir Kewangan, Norisham Badri.

Zulkifli yang telah berkhidmat selama 25 tahun di MBPP berkata, penglibatan beliau dalam perbarisan Hari Kebangsaan bukanlah sesuatu yang baharu apabila tahun ini merupakan kemenangan kali ketiga sebagai kontinjen terbaik sepanjang beliau menyertai pertandingan berkenaan.

Beliau berkata, proses pemilihan anggota turut dilakukan secara berperingkat bagi memastikan hanya peserta yang mempunyai kemampuan dan disiplin berkawad dipilih untuk mewakili MBPP.

“Setiap tahun sebelum pemilihan dibuat, kita akan mengadakan saringan terlebih dahulu untuk melihat kemampuan anggota berkawad, dari situ kita tapis dan pilih anggota yang sesuai sebelum mereka menjalani latihan.

“Untuk tahun ini, kebanyakannya terdiri daripada anggota baharu yang melapor diri pada tahun lalu. Kita mahu memastikan mereka mendapat pendedahan dan latihan yang secukupnya,” jelas beliau lagi.

Mengulas cabaran sepanjang latihan, Zulkifli berkata faktor cuaca panas, latihan berulang serta sesi latihan ketika hujan antara perkara yang perlu ditempuhi anggota.

Sementara itu, Shafiq memaklumkan cabaran utama adalah membentuk anggota yang sebelum ini tidak mempunyai pengalaman dalam kawad.

“Pada peringkat awal agak sukar untuk membentuk anggota yang tidak pernah terlibat dengan kawad. Namun selepas mendapat bantuan dan latihan daripada pihak tentera, perubahan yang ditunjukkan lebih jelas.

“Latihan dalam cuaca panas dan hujan serta secara berterusan menjadi cabaran, tetapi semua itu akhirnya membuahkan hasil,” jelasnya lagi.

f69cb339 8d7d 417c b81c 6261d6fef58c

Dalam pada itu, anggota MBPP yang bertanggungjawab menghasilkan konsep pakaian perbarisan tahun ini, menerusi rekaan Pembantu Tadbir di Jabatan Khidmat Pengurusan MBPP, Abu Hassan Abu Bakar.

Maklum beliau, rekaan kali ini mengetengahkan elemen bunga raya sebagai simbol identiti Malaysia.

c4ea8553 8a7b 450b b4c9 08a032f86ee2 d737211e 063c 41e5 964b 69f8d8c17a11 022cbfff 7d8f 49cb 9a26 a680e01e79b7 50ae9f22 6635 4509 8a57 6c7aa395159d

Menurutnya, konsep tersebut turut mengekalkan elemen batik yang digunakan pada tahun sebelumnya, namun diberikan sentuhan lebih segar menerusi gabungan warna peach, maroon, merah dan kuning.

“Selepas kemenangan tahun lalu, cabaran tahun ini lebih besar kerana kita mahu mengekalkan kejayaan tersebut.

“Saya mahu menghasilkan sesuatu yang lebih segar dan berbeza. Sebab itu kita mengetengahkan bunga raya yang merupakan bunga kebangsaan Malaysia, selain mengekalkan elemen batik,” maklum beliau kepada Buletin Mutiara.

Tambahnya, idea tersebut mendapat sokongan penuh pihak pengurusan MBPP dan dibangunkan bersama pasukan yang terlibat.

Setelah berjaya membawa pulang gelaran juara pada tahun ini, Zulkifli dan pasukannya sedia mempertahankan piala pusingan tersebut untuk tahun 2027.

Zulkifli nekad akan terus memperkemas persiapan bagi menghadapi pertandingan sama tahun depan termasuk mempertimbangkan penambahan jumlah sesi latihan.

“InsyaAllah kami akan cuba buat yang lebih baik lagi untuk tahun depan, dari segi pemilihan dan latihan, mungkin kami akan tambah lagi sesi latihan daripada sebelum ini yang berjumlah 16 kali,” katanya lagi.