Bertemakan ❤️Penang, Ketua Menteri anjur Anugerah Komuniti dan acara larian 14 Ogos

Admin
KETUA Menteri (tengah) bersama-sama empat lain dalam sidang media promosi dwi acara bersempena kempen ❤️ Penang di Komtar pada 15 Julai 2022.

GEORGE TOWN – Dalam tempoh hampir dua tahun negeri dilanda pandemik COVID-19 telah menyaksikan begitu ramai wira dalam kalangan rakyat tampil secara sukarela serta tidak mengharapkan balasan demi membantu komuniti masyarakat yang terjejas daripada aspek kesihatan, sosial dan ekonomi.

Sebagai mengiktiraf sumbangan mereka, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow melancarkan kempen ❤️Penang dengan mengalu-alukan pencalonan orang awam bagi menerima Anugerah Komuniti daripada Kerajaan Negeri hari ini.

“Matlamat kempen ini adalah untuk menggalakkan penduduk Pulau Pinang membina semula (semangat muhibah di atas) ‘kerosakan’ yang berlaku dan bangkit membina harapan serta impian yang hilang dalam tempoh pandemik.

“Jika anda mengenali sesiapa yang memenuhi kriteria (untuk menerima Anugerah Komuniti ini), anda boleh mengambil peluang ini bagi berkongsi jasa baik mereka…seterusnya mencalonkan individu terbabit melalui aplikasi ❤️Penang ataupun laman sesawang, www.lovepenang.my.

“Calon yang berjaya akan diberikan Anugerah Komuniti oleh Kerajaan Negeri,” jelasnya dalam sidang media promosi program berkaitan di sini pada 15 Julai 2022.

KETUA Menteri (kanan) diiringi Soon Lip Chee dalam sidang media berkaitan di Komtar tadi.

Exco Belia & Sukan, Soon Lip Chee dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP), Harry Chai Heng Hua turut sertai sidang media tersebut.

Di samping itu, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi menyatakan bahawa menerusi program Anugerah Komuniti dan Kempen ❤️Penang tersebut, pentadbirannya yakin bahawa ia dapat menguatkan prinsip kasih sayang dalam kalangan masyarakat Pulau Pinang tanpa mengira perbezaan kaum dan agama.

“Ini adalah amat penting untuk menghakis sentimen perkauman serta fahaman (yang tidak sihat) terutamanya di antara rakyat majmuk,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota Lama merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow turut mengumumkan acara Larian ❤️PENANG (❤️PENANG Run) sejauh 5 kilometer (km) di tengah-tengah bandar raya George Town pada 14 Ogos ini, dengan penyertaan dihadkan 10,000 orang sahaja.

Dianjurkan secara bersama oleh Kerajaan Negeri, MSNPP dan Penang Forward Sports Club, Kon Yeow berharap acara itu dapat mempromosikan kembali gaya hidup sihat dalam kalangan komuniti penduduk negeri.

“❤️PENANG Run dibuka untuk semua peringkat umur (yang mana) kanak-kanak berusia 12 tahun dan ke bawah mesti ditemani ibu bapa atau penjaga masing-masing.

“Pendaftaran kini dibuka dengan yuran sebanyak RM17 bagi membolehkan para peserta mendapatkan baju-t, pingat dan e-sijil,” ulasnya sambil memberitahu tarikh akhir pendaftaran pada 5 Ogos 2022.

Informasi lanjut atau pendaftaran boleh dibuat melalui laman Facebook, https://www.facebook.com/lovepenangrun.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS