Bicara kes roboh Pasar Perai 18 Sept. – YDP

SEBERANG JAYA – Kes perobohan sebahagian struktur Pasar Perai yang berusia 76 tahun serta mempunyai nilai warisan sejarah tersendiri dengan tanpa kebenaran Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) akan didengar di Mahkamah Majistret Butterworth pada 18 September ini.

Demikian maklum balas Yang diPertua MPSP, Dato’ Maimunah Mohd. Sharif kepada wartawan.

“Dia (pemaju) tidak memohon apaapa (Pelan Rancangan Pembangunan) projek pun di tapak tersebut, cuma dia meruntuhkan pasar lama tersebut.

“Kalau mengikut undang-undang, memerlukan kelulusan dari majlis (MPSP), tetapi kerja-kerja dia ini tiada kelulusan, maka, kita (MPSP) bawa ke mahkamah,

“Kita (MPSP) mengambil tindakan tegas di bawah dua akta, (iaitu) Akta Perancangan Bandar dan Desa, 1976 dan Akta Jalan, Parit dan Bangunan (1974),” jelasnya pada sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda, di sini baru-baru ini.

Hadir sama , Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud.

Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri II, Prof Dr. P. Ramasamy pada awal bulan Jun lepas menegaskan, pemaju berkaitan tidak sepatutnya merobohkan Pasar Perai tanpa kebenaran MPSP, sungguhpun pihak berkaitan berjaya mendapatkan perintah mahkamah untuk mengosongkan tanah tersebut.

Lagipun katanya, MPSP telahpun mengeluarkan perintah larangan kerjakerja kepada pemaju berkenaan.

Tambah Ramasamy, sepatutnya bangunan tersebut tidak terus diroboh memandangkan Kerajaan Negeri sedang mempertimbangkan cadangan untuk mewartakan bangunan Pasar Perai yang dianggap mempunyai nilainilai warisan.

“Langkah injuksi yang dilakukan secara pentadbiran oleh Kerajaan Negeri dan MPSP sebenarnya adalah mendekati tuntutan Akta Warisan Kebangsaan, 2005, iaitu melarang bangunan berusia melebihi 100 tahun dari dirobohkan, untuk dipulihara sebagai warisan negara,” tegas beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai bersama-sama peguambela, Pamela Vijayrani.

Dua Ahli Majlis MPSP, P. David Marshel dan M. Satees turut menyertai sidang media tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, difahamkan, pemaju terbabit turut mengfailkan saman pemula kepada beberapa pihak berwajib, yang didengar di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 4 Julai lalu.