Bom gereja bukan ajaran Islam – Afif

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KEPALA BATAS – Insiden melemparkan dua bahan letupan buatan sendiri jenis ‘ ‘molotov cocktail’’ di Gereja Asssumption dekat Lebuh Farquhar, George Town baru-baru ini adalah berlawanan dengan tuntutan Islam serta tidak mengikut sunnah Rasulullah S.A.W..

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin memberi respon itu semasa ditemui pada majlis mengedarkan limau untuk komuniti Cina di Pekan Kepala Batas di sini sempena sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini.

“ R a s u l u l l a h S.A.W sendiri menghormati agama lain dan sepatutnya menjadi sunnah yang patut kita lakukan, bukan bertindak seperti di gereja itu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Bertam, Asrol Sani Abdul Razak turut menyertai program komuniti tersebut, yang diadakan oleh Pejabat Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Mohd. Rashid Hasnon.

Dr. Afif berkata, Allah S.W.T sendiri dalam Al-Quran secara jelas melarang celaan ke atas agama lain demi memelihara imej Islam sebagai agama yang adil.

Beliau memetik ayat 108 dari Surah al-An’am yang bermaksud, “Dan janganlah kamu memaki sembahansembahan yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka nanti akan memaki Allah dengan melampaui batas (disebabkan) tanpa pengetahuan.”

Justeru, Afif berkata, balingan bom ke atas gereja itu jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar, serta Perlembagaan Persekutuan sendiri.

“Jika maki agama lain pun sudah dilarang, baling bom buatan sendiri ke gereja itu lebih-lebih lagi lah dilarang.

“Sepatutnya tidak berlaku insiden ini kerana Perlembagaan Persekutuan sendiri pun menjamin kebebasan untuk beragama,” jelas beliau, mengecam pihak pelampau agama terbabit.

Insiden itu dikatakan mempunyai kaitan dengan kain rentang yang bertulis “Allah is great, Jesus is the son of Allah” yang digantung di beberapa lokasi dekat Lebuh Farquhar, Sungai Pinang, Pulau Tikus, Gelugor dan Butterworth.