CIMB, komuniti jayakan projek sisa sifar Pmtg. Nibong

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB


SEBERANG JAYA – Syarikat perbankan, CIMB dengan kerjasama Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) serta penduduk Kampung Permatang Nibong baru-baru ini menganjurkan program pengkomposan sisa selama lapan hari di sini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud berkata, program sisa sifar seumpama itu adalah pertama kali diadakan membabitkan ketiga-tiga pihak, iaitu penduduk, pihak swasta dan pihak berkuasa tempatan (PBT) sendiri.

“Gambarannya, penglibatan 4P, iaitu peoples, public dan private partnership yang membawa bersama-sama penduduk tempatan, MPSP dan CIMB menyertai serta saling berkongsi (inisiatif) dalam memastikan kejayaan program ini,” ujarnya pada Program Komuniti CIMB di Pusat Sumber Permatang Nibong di sini.

Wakil komuniti Permatang Nibong, Anas Abdul Malik turut berucap pada majlis tersebut.

Difahamkan program tersebut berlangsung selama lapan minggu, bermula pada 30 September 2013 dan berakhir pada 29 Disember tahun lepas.

Rozali memberitahu, kira-kira 1,120 kilogram sisa makanan berjaya dikumpul dan dikomposkan sepanjang program tersebut berlangsung.

“Secara purata, setiap isi rumah di Permatang Nibong menghasilkan 2.5 kilogram sisa makanan setiap minggu berbanding dengan 4.5 kilogram sisa makanan yang dihasilkan bagi setiap isi rumah dari kawasan perumahan yang lain.

“Ini bermakna, penduduk Permatang Nibong kurang menjana sisa organik sebagai sebahagian daripada sisa makanan berakhir untuk (dijadikan) makanan ternakan mereka,” ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, beliau turut merakamkan penghargaan kepada seorang penduduk setempat secara sukarela menawarkan sebidang tanah lain berkeluasan 20,000 kaki persegi tidak jauh dari sini untuk dijadikan pusat eko-pertanian setempat.

Terdahulu, MPSP dengan kerjasama komuniti Permatang Nibong pada 30 Disember tahun lepas menganjurkan Bengkel Kitar Semula Kreatif.

Pada 19 Januari lepas pula, katanya, kerjasama kedua-dua pihak berkenaan berjaya mengitar semula sisa pepejal seberat 4,529 kilogram, sebelum dijual.

Rozali berkata, hasil keuntungan hasil program kitar semula itu disalurkan untuk program pembangunan dan penyelenggaraan masjid seperti pembayaran bil elektrik dan air, serta menjalankan kelas bacaan Al -Quran dan Fardhu Ain.