‘Bonus Raya’ Pulau Pinang, 0.75 bulan gaji

Admin

GEORGE TOWN – Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mengumumkan pemberian 0.75 bulan gaji atau kadaran minimum RM1,000 kepada semua anggota perkhidmatan awam layak, sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini, dibayar pada 20 Jun 2017.

Menurut kenyataan dikeluarkan pada 9 Jun lalu, Bantuan Khas Kewangan (BKK) sejumlah RM300 juga akan diberikan kepada Penyelia, Guru dan Staf KAFA, Sekolah Rendah Agama Rakyat, Sekolah Menengah Agama Rakyat, Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi), Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Negeri dan Sekolah Persendirian Cina Negeri Pulau Pinang; manakala bagi Maahad Tahfiz, Sekolah Pondok dan Tadika Islam (TADIS) masing-masing menerima RM200.

“BKK sebanyak 0.75 bulan ini akan dipecahkan kepada dua bayaran iaitu 0.5 bulan gaji kepada semua penjawat awam yang tiada rekod disiplin.

“Manakala, tambahan 0.25 bulan gaji lagi akan diberikan kepada penjawat awam yang memuaskan prestasinya,” katanya di sini.

Guan Eng memberitahu, pemberian BKK kepada 3,741 pegawai Perkhidmatan Awam Negeri di Pentadbiran Kerajaan Negeri adalah dianggarkan berjumlah RM7,551,028.94 berbanding
RM6,945,034.67 yang dibayar pada pertengahan tahun 2016. Pemberian BKK Tahun 2017 juga
dipanjangkan kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan berkanun negeri.

“Memandangkan Kerajaan Negeri mencatatkan lebihan Belanjawan setiap tahun sejak tahun
2008 melalui pengurusan Cekap, Akauntabiliti dan Telus (CAT), sebanyak RM71,779,770.99 telah dicatatkan pada 2015 dan dijangka akan juga mencatatkan lebihan Belanjawan pada tahun 2016. Maka Kerajaan Negeri berasa boleh memberikan BKK yang sama kepada semua penjawat awam Kerajaan Negeri,” ujarnya.