Exco nafi pembangunan tidak terkawal punca banjir di Kampung Kechil

Admin

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Dakwaan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Aceh, Datuk Mahmud Zakaria kononnya masalah banjir yang melanda kawasan Sungai Kechil berpunca oleh aktiviti pembangunan tidak terkawal adalah tidak benar.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow
memberitahu, masalah berbangkit tersebut boleh diselesaikan sekiranya Kerajaan Persekutuan
menyegerakan kelulusan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kechil bernilai RM12 juta, yang sebelum ini dipohon oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

“Kawasan Sungai Kechil merupakan kawasan kampung yang masih didominasi dengan aktiviti
pertanian dan tidak banyak aktiviti pembangunan dijalankan seperti di kawasan perbandaran yang lain.

“Justeru, penyelesaian kepada masalah banjir kilat di Sungai Kechil adalah dengan  melaksanakan projek Rancangan Tebatan Banjir Sungai Kechil,” jelasnya dalam sesi penggulungan di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota berkenaan menyatakan bahawa,
JPS telah mengemukakan semula permohonan projek RTB Sungai Kechil melalui Bahagian
Pengurusan Banjir JPS Malaysia dengan kos anggaran RM12 juta sebagai projek baru dalam Rolling Plan Ketiga Tahun 2018 setelah cadangan tersebut ditolak dalam Rolling Plan Pertama, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) Tambah Kon Yeow, permohonan berkaitan projek RTB itu sedang dalam semakan Unit Perancang Ekonomi (EPU) langsung di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut mengulas mengenai jumlah peruntukan sebenar yang diluluskan Kerajaan Persekutuan melalui Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) hingga RMK-11 untuk Pulau Pinang.

“Sekiranya ia diteliti, negeri Pulau Pinang diluluskan peruntukan sejumlah RM305 juta, hanya 21.7 peratus daripada jumlah peruntukan asal sebanyak RM1,407,209,672.00 (RM1.4 bilion).

“Perkara sama juga dapat diperhatikan semasa RMK-10 yang mana daripada jumlah peruntukan asal RM185,670,290.00, Kerajaan Negeri hanya menerima RM124,745,837.95, iaitu 67.2 peratus,” jelas Kon Yeow.

Mengulas lanjut, kata Kon Yeow, jumlah peruntukan Kerajaan Pusat untuk RTB Sungai Pinang
pula berjumlah RM150 juta, namun Pulau Pinang hanya menerima RM1 juta sahaja pada tahun 2017.

“Peruntukan selebihnya akan disalurkan secara berperingkat sehingga projek siap pada tahun
2020,” ujarnya kepada ADUN Pembangkang.