Buah-buahan dan sayuran tempatan produk utama Pakej Ekopelancongan SPU

Admin

KERAJAAN Negeri Pulau Pinang baru-baru ini telah meluluskan tapak khas untuk membangunkan sebuah Pusat Ekopelancongan Seberang Perai Utara (SPU) dekat Pinang Tunggal, Kepala Batas.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow ketika mengumumkan perkara itu berkata bahawa langkah tersebut adalah bertujuan mempelbagaikan lagi sumber ekonomi penduduk tempatan yang kebanyakannya menjalankan aktiviti pertanian.

Sebuah pakej pelancongan lengkap turut disediakan membabitkan kerjasama antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan pihak-pihak swasta untuk mengembangkan lagi potensi ekopelancongan sedia ada di kawasan itu di samping mewujudkan pelbagai produk baharu.

Lay Hock Peng.

Menurut Pegawai Penyelaras Khas kepada Ketua Menteri, LAY HOCK PENG, pakej ekopelancongan itu diilhamkan sebagai salah satu usaha untuk mempromosikan keunikan alam semula jadi yang ada di SPU.

Walau bagaimanapun kata beliau, pakej tersebutmbelum lagi dapat dipromosikan sepenuhnya memandangkan keadaan penularan pandemik COVID-19 masih membimbangkan.

Namun begitu menurut beliau, usaha mempromosi Pakej Ekopelancongan SPU tetap berjalan lancar dengan fokus diberikan kepada usaha memperkenalkan produk pertanian tempatan seperti buah-buahan dan sayur-sayuran kepada penduduk setempat sebagai permulaan.

“Pakej ini kita telah rancang sejak dua tahun lalu dan sepatutnya sudah boleh dimulakan pada tahun ini, tetapi memandangkan penularan pandemik COVID-19 masih lagi membimbangkan, jadi kita terpaksa tangguh seketika sehingga keadaan kembali selamat.

“Namun begitu, kerja-kerja mempromosi pakej pelancongan ini tetap kita jalankan dengan menumpukan kepada pelancong tempatan terutamanya di kawasan Pinang Tunggal kerana PKP masih lagi berkuat kuasa,” katanya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan tinjauan khas ke atas produk ekopelancongan SPU dekat Kampung Setol, Pinang Tunggal baru-baru ini.

Galak Lebih Banyak Penyertaan Pihak Swasta

Hock Peng yang merupakan antara individu penting menggerakkan pekej tersebut, menjelaskan bahawa tumpuan kini adalah untuk menarik penyertaan seramai mungkin pekebun kecil di SPU demi mempelbagaikan lagi produk yang boleh ditawarkan kepada pelancong.

Kebun jambu organik milik salah seorang pekebun kecil yang mengambil bahagian dalam Pakej Ekopelancongan SPU.

“Sebenarnya memang banyak pihak swasta berminat, bukan sahaja pekebun serta nelayan, malah ada juga pihak-pihak kilang yang menawarkan produk mereka untuk dimasukkan ke dalam pakej berkenaan.

“Oleh itu, untuk peringkat permulaan ini, kita wujudkan satu promosi dengan menawarkan pakej yang menggabungkan produk makanan keluaran kilang dan hasil nelayan serta pertanian tempatan dan dijual pada harga lebih murah berbanding di pasaran.

“Bagi tujuan ini, kita sedang merancang untuk mewujudkan stesen dan beberapa ejen di setiap daerah untuk membolehkan pakej dengan promosi istimewa ini boleh dipasarkan ke seluruh negeri ini,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Hock Peng memberitahu bahawa selain hasil pertanian tradisional tempatan di Pinang Tunggal, pihaknya turut memfokuskan kepada produk- produk hasil laut daripada nelayan di kawasan Penaga.

“Kepelbagaian produk yang ditawar akan memastikan pakej ekopelancongan ini mampu menarik minat lebih ramai pelancong sama ada dari dalam dan luar negeri.

Lay Hock Peng (kanan) dan Cheng Siew Yang di kebun jambu batu dekat Pinang Tunggal, Kepala Batas.

“Sebab itulah kita masih memikirkan beberapa lagi aktiviti serta produk-produk baru yang boleh dimasukkan ke dalam pakej ini untuk menjadikan ia lebih menarik dan mampu menggamit kehadiran pelancong pada masa akan datang,” ulasnya.

Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan bahawa pakej tersebut bakal menjadi tarikan terbaru di SPU apabila pintu sempadan negeri serta negara dibuka untuk tujuan pelancongan kelak.

“Justeru, pada masa ini, kita masih sedang cuba melengkapkan pakej ini sebaik mungkin kerana apabila pandemik COVID-19 berakhir nanti, sebuah pakej ekopelancongan yang lengkap dapat ditawarkan kepada pelancong.

“Serentak itu, kita juga sedang mengenal pasti beberapa lagi tempat menarik selain Kampung Agong dan Galeri Arkeologi Guar Kepah yang boleh dijadikan tumpuan utama para pelancong.

“Tujuannya adalah kita mahu pastikan pakej ini mampu memberikan keseronokan serta pengalaman yang berharga kepada pelancong sepanjang mereka berada di SPU ini.

Jambu batu yang ditanam secara organik menjadikan saiznya lebih besar dengan rasa lebih sedap.

“Justeru, kita masih lagi mengalu-alukan penyertaan mana-mana nelayan dan pekebun kecil tempatan yang berminat untuk memperkenal serta memasarkan produk mereka melalui pakej ekopelancongan ini,” katanya.

Jambu Batu Organik

Salah satu produk yang ditawarkan dalam Pakej Ekopelancongan SPU adalah jambu batu organic daripada pekebun kecil tempatan, CHENG SIEW YANG, 48.

Pemilik Eco Village Enterprise itu ketika ditemui menyatakan bahawa beliau mengambil keputusan untuk menyertai Pakej Ekopelancongan SPU bertujuan memasarkan produknya secara lebih meluas.

“Setakat ini hasil pertanian yang saya usahakan hanya mampu dipasarkan di sekitar Pulau Pinang terutamanya Pinang Tunggal dan beberapa kawasan di Kedah.

“Tambahan pula sekarang tempoh pandemik, jadi hasil jualan adalah agak merosot. Oleh itu, diharapkan melalui Pakej Ekopelancongan SPU ini, produk pertanian saya dapat dipasarkan lebih meluas lagi terutamanya ketika musim hujan,” serunya.

Cheng Siew Yang menunjukkan perangkap serangga yang dipasang di setiap pohon jambu batu miliknya.

Ditanya mengenai keistimewaan tanaman yang diusahakan beliau berbanding pekebun lain, Siew Yang menjelaskan bahawa jambu batu di kebunnya seluas hampir dua ekar itu ditanam secara organik.

“Baja yang digunakan adalah jenis organik, dan kita juga tidak menggunakan racun serangga sebagaimana lazimnya digunakan oleh petani moden.

“Sebaliknya, saya membuat sendiri perangkap serangga yang diletakkan di setiap pokok jambu untuk menghalang serangan seperti lalat, nyamuk, ulat dan sebagainya.

“Sebab itulah, rasa jambu ini lebih rangup, berair dan saiznya juga lebih besar berbanding jambu biasa yang ada di pasaran,” ulasnya yang telah mengusahakan tanaman tersebut sejak lebih lima tahun lalu.

Tambah beliau, jambu yang terhasil dari kebunnya adalah diasingkan mengikut gred iaitu A, B dan C bergantung kepada kualiti buah tersebut.

“Walau bagaimanapun, untuk pakej ekopelancongan ini, kita hanya menawarkan jambu gred A sahaja selain dijual pada harga premium,” katanya sambil menambah bahawa beliau kini berdepan masalah tenaga buruh dek penularan COVID-19.

Selain jambu batu, difahamkan Siew Yang yang juga Setiausaha Persatuan Pekebun Kecil Pulau Pinang turut mengusahakan beberapa jenis lagi sayur-sayuran seperti bendi, labu manis dan kelapa muda.

Jagung Manis dan Air Kelapa Muda

Sementara itu, SUA YIH SUAN, 41, berkata penyertaan beliau dalam Pakej Ekopelancongan SPU bukan sekadar untuk meningkatkan pasaran hasil pertanian tetapi juga sebagai inisiatif mempromosikan kawasan SPU ke peringkat antarabangsa.

Jagung ungu istimewa yang diusahakan oleh Sua Yih Suan.

Beliau yang mengusahakan kebun jagung manis seluas enam ekar turut berharap agar dapat menarik minat golongan muda untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian.

“Sebab melalui pakej ini, kita akan menawarkan pengalaman kepada pelancong khususnya pelajar sekolah untuk mempelajari sendiri cara menanam dan memetik jagung di sini.

“Selain itu, mereka juga dapat menikmati rasa manis jagung yang boleh terus dimakan selepas dipetik daripada pohonnya,” ujarnya yang telah mengusahakan tanaman tersebut sejak 10 tahun lalu.

Difahamkan, selain jagung biasa yang isinya berwarna kuning atau putih, Yih Suan juga mengusahakan jagung ungu tetapi hanya untuk pasaran di Pinang Tunggal sahaja.

Pengusaha kebun kelapa matag, PANG KOK POH, 71, pula berharap agar penyertaannya dalam Pakej Ekopelancongan SPU dapat meningkatkan lagi hasil jualan air kelapa muda yang sebelum ini hanya dijual kepada pemborong tempatan sahaja.

Menurut beliau, kelapa muda ketika ini dijual pada harga RM2 sebiji dengan pasaran pula agak terhad.

Pang Kok Poh sedang memetik buah kelapa di kebun beliau di Pinang Tunggal.

“Saya sediakan kebun kelapa matag lebih setengah ekar untuk tujuan ini yang mana pelancong boleh datang ke sini dan menikmati air kelapa muda di tengah-tengah alam semula jadi.

“Ini pasti akan memberikan pengalaman menarik untuk mereka khasnya pelancong dari bandar,” ujarnya.

Bagi yang berminat untuk mendapatkan buah-buahan tempatan berkenaan boleh hubungi 012 – 478 5599/ 012 – 412 0599 atau layari laman Facebook Eco Village.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR