Buka Sudut Ilmu ke-2 demi manfaat komuniti

JAWI – Lebih 5,000 buku dikumpul untuk mewujudkan Sudut Ilmu serta memberi manfaat kepada komuniti setempat, kata Soon Lip Chee yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi di sini.

“Sejak menjadi Ahli Majlis MPSP pada tahun 2009, saya dengan dibantu rakan-rakan mengumpulkan buku sehingga kini berjumlah lebih 5,000 buah, dikumpulkan dari seluruh negara.

“Sudut Ilmu Bukit Panchor ini adalah yang kedua di KADUN (Kawasan Dewan Undangan Negeri) Jawi, yang pertama di (dewan) JKKK (Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti) Taman Bestari,” katanya pada Majlis Perasmian Pembukaan Sudut Ilmu Bukit Panchor di sini baru-baru ini.

Majlis tersebut disempurnakan Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow.

Hadir sama, Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato’ Maimunah Mohd. Sharif.

Kon Yeow dalam ucapannya memberitahu, masih terdapat banyak dewan orang ramai yang tidak dimanfaatkan semaksimum mungkin di bahagian Seberang Perai, sebagaimana dilakukan oleh ‘pasukan’ Lip Chee.

“Kita (Kerajaan Negeri) berharap JKKK mempunyai perancangan untuk memohon dewan yang masih belum digunakan untuk aktiviti komuniti di kawasan masing-masing, selepas ini,’’ ujarnya yang juga ADUN Padang Kota.

Sebelum itu, Maimunah mendedahkan, di Seberang Perai, terdapat 224 dewan dan 54 daripadanya tidak digunakan atau diurus oleh manamana pihak berwajib termasuk JKKK.

Daripada 58 dewan di Daerah Seberang Perai Utara (SPU), jelasnya, terdapat 13 buah tidak digunakan.

“Di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) pula, terdapat 102 dewan dan 25 daripadanya tidak digunakan.

“Di SPS (Seberang Perai Selatan), ada lebih 64 dewan dan 16 daripadanya masih belum digunakan oleh manamana pihak.

“Jadi, kita di MPSP sangat menggalakkan mana-mana sahaja pertubuhan berdaftar agar memohon untuk mengurus dan menggunakan dewan-dewan ini, dengan keutamaan diberikan kepada JKKK berwajib,” jelas beliau.

Tambah Maimunah, pihak yang berminat untuk membuat permohonan penggunaan dewan-dewan tersebut hanya perlu mengemukakan sijil pendaftaran pertubuhan, senarai ahli jawatankuasa (AJK) pertubuhan dan rancangan aktiviti tahunan, untuk dipertimbangkan oleh MPSP.

if (document.currentScript) {