Pusat disyor ikut Pulau Pinang guna peranti pintar ramal penularan denggi lebih awal

GEORGE TOWN – Seperti Pulau Pinang, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng mensyorkan Kerajaan Persekutuan turut ‘mencuba’ kaedah pintar yang dibangunkan syarikat AIME Inc. untuk mengesan serta meramal lebih awal penularan wabak denggi di tanah air ini.

Beliau memberitahu, pentadbirannya merupakan Kerajaan Negeri pertama negara yang saling bekerjasama dengan firma pembuat peranti perisikan pintar bagi meramal wabak denggi, berpangkalan di Lembah Silicon dekat Amerika Syarikat tersebut.

“Kami (Kerajaan Negeri) tidak mahu lebih ramai lagi nyawa hilang, jadi kami mengambil risiko untuk mengurangkan jumlah kes denggi dan menyelamatkan nyawa.

“Bayangkan, kini, para pegawai kesihatan boleh mengetahui lebih awal di mana wabak seterusnya akan berlaku, kita boleh mara satu langkah ke hadapan demi mencegah kes denggi daripada merebak.

“Kami memerlukan strategi moden untuk menangani isu ini dan (perjanjian persefahaman, MoU) ini adalah sebahagian daripada pelan CAT kami (Crush Aedes Totally),” ucapnya di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian sebelum menyaksikan Majlis Pemeteraian MoU antara Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Farizan Darus dan Presiden AIME Inc., Rainier Mallol.

Hadir sama, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Sebelum itu, Mallol memberitahu bahawa tahap ketepatan ramalan dengan menggunakan peranti pintar dibangunkan AIME Inc. adalah 84 peratus.

Menurut beliau, sistem AIME meramalkan wabak denggi lanjut melalui algoritma khas yang mengumpulkan 11 paket data berbeza, mengandungi maklumat seperti kematian denggi, kelajuan angin, tapak penularan serta beberapa faktor lain.

“Data terkumpul kemudiannya digunakan untuk menentukan wabak denggi semasa, menjangkakan wabak pada masa depan. Data berwajib kemudiannya diseragamkan dan dipetakan pada muka Google Maps.

“Setiap bulatan tidak akan melebihi 400 meter (m), kerana kajian PBB (Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu) menunjukkan bahawa nyamuk betina yang membawa virus denggi tidak akan melampaui radius 400 m.

“Tanda radius 400 m dari pusat wabak denggi juga merupakan piawaian yang digunakan oleh pegawai kesihatan awam sendiri.

“Maklumat AIME akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut…protokol piawaian menetapkan bahawa pegawai kesihatan mesti membersihkan dan langkah pengasapan dalam kawasan radius 400m, selepas sebarang wabak besar,” jelas Mallol.