Bukit Tambun FC teroka pelbagai bidang jana pendapatan

Admin

KELAB bola sepak tempatan, Bukit Tambun FC kini mengambil alih pengurusan kompleks makanan Pangsapuri Suria 1 dekat Bukit Tambun yang sebelum ini di bawah seliaan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, GOH CHOON AIK memberitahu bahawa inisiatif tersebut diambil bagi membolehkan Bukit Tambun FC menjana pendapatan sendiri demi kelangsungan pasukan tersebut.

“Kompleks makanan ini menyediakan 33 gerai untuk penjaja tempatan tetapi sehingga kini ia masih belum beroperasi disebabkan penularan pandemik COVID-19.

Padang bola sepak yang terletak di belakang kompleks makanan Pangsapuri Suria 1 turut dinaik taraf.

“Kawasan sekitar kompleks makanan ini turut dilengkapi dengan kemudahan lain seperti taman permainan, kolam rekreasi, tandas awam dan surau selain berdekatan dengan pusat membeli belah Design Village serta gedung IKEA.

“Oleh itu, mereka yang berminat hendak menjalankan perniagaan di sini terutamanya pengusaha makanan tempatan yang popular boleh mengemukakan permohonan ke pejabat saya untuk pertimbangan lanjut,” katanya kepada Buletin Mutiara semasa mengadakan lawatan tapak ke kompleks berkenaan baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Sooh Hin serta Presiden Bukit Tambun FC, Foo Yu Keong.

Tanggung kos selenggaraan

Choon Aik yang juga penaung Bukit Tambun FC berkata, PDC sebelum ini telah membelanjakan kira- kira RM10,000 sebulan untuk menyelenggara kompleks makanan tersebut.

“Sekarang, semua kos penyelenggaraan ini akan ditanggung sepenuhnya oleh Bukit Tambun FC yang mana secara tidak langsung ia dapat menjimatkan sumber kewangan PDC.

“Bukan itu sahaja, kita juga melakukan beberapa penambahbaikan termasuk membaiki bumbung dan menyediakan bekalan air serta elektrik di kompleks makanan ini.

Kolam rekreasi antara kemudahan yang terdapat berhampiran kompleks makana tersebut.

“Malah, kita juga menambah lampu limpah dan beberapa fasiliti lain dekat padang bola di belakang kompleks makanan ini yang selalu digunakan oleh Bukit Tambun FC teroka pelbagai bidang jana pendapatan pemain Bukit Tambun FC dan Penang FC untuk menjalani latihan,” jelasnya.

Dalam pada itu, Choon Aik turut mencadangkan agar Kerajaan Negeri memperkenalkan perkhidmatan penghantaran makanan dengan caj yang lebih murah bagi membantu peniaga kecil dalam tempoh pandemik.

“Memandangkan kita masih dalam tempoh pandemik, maka adalah lebih baik Kerajaan Negeri mewujudkan perkhidmatan penghantaran dengan caj lebih murah berbanding perkhidmatan yang ada di pasaran.

“Melalui inisiatif ini, kita dapat mengelakkan orang ramai daripada makan di premis makanan, selain memberi peluang kepada penduduk tempatan untuk terlibat dalam digitalisasi di samping membantu peniaga menjana pendapatan,” katanya.

Kompleks Jeti Batu Musang

Selain kompleks makanan, Choon Aik memberitahu bahawa Bukit Tambun FC turut mengambil alih pengurusan Kompleks Jeti Batu Musang dekat Pulau Aman sejak September lalu.

“Kita telah mencapai persetujuan dan telah menandatangani perjanjian untuk mengambil alih pengurusan jeti ini termasuk kawasan tempat letak kereta selama tiga tahun.

“Ia dapat menjimatkan perbelanjaan PDC kerana sebelum ini mereka membayar sebanyak RM5,000 sebulan kepada sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menyelenggara fasiliti ini.

Keadaan terkini kompleks Jeti Batu Musang.

“Memandangkan Jeti Batu Musang telah mengalami pelbagai kerosakan, kita telah memohon peruntukan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 berjumlah RM140,000 untuk menaik taraf tangga, bumbung, surau, tandas serta memasang ‘awning’.

“Permohonan tersebut telah diluluskan sekali gus membolehkan kerja-kerja pembaikan dimulakan sejak 1 September lalu dan dijangka siap pada akhir Oktober ini,” ulasnya.

Wujudkan pakej pelancongan lengkap

Mengulas lanjut, Choon Aik menyatakan bahawa satu pakej pelancongan lengkap bakal disediakan untuk para pelancong yang datang ke Pulau Aman selepas pandemik COVID-19 berjaya ditangani kelak.

“Pakej ini akan merangkumi pelbagai aktiviti air dan pesisir pantai seperti memancing, ‘island hopping’, perkhemahan dan sukan air tidak bermotor.

“Kita optimis bahawa selepas sempadan negeri dibuka semula dan pandemik COVID-19 beransur reda, kehadiran pelancong ke Pulau Aman akan meningkat.

Foo Yu Keong.

“Sebab itu, sekarang kita mahu meningkatkan fasiliti di sini sebagai persediaan untuk menyambut kehadiran pelancong tidak lama lagi,” ujarnya yakin.

Justeru, Choon Aik meminta Kerajaan Negeri melalui pejabat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Pelancongan dan Ekonomi Kreatif supaya menambah baik serta meningkatkan lagi fasiliti di Pulau Aman untuk menampung kehadiran pelancong kelak.

“Tambahan pula, kompleks dan Jeti Batu Musang memang dibina menggunakan peruntukan daripada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) pada 20 tahun lalu.

“Oleh itu, adalah diharapkan agar Pulau Aman dan fasiliti berkaitan dapat ditelakkan di bawah MOTAC dan MMK Pelancongan dan Ekonomi Kreatif untuk dibangunkan sebagai destinasi pelancongan popular,” saran beliau.

Sementara itu, Soon Hin memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui Pelan Induk Pelancongan Pulau Pinang (PTMP) akan memberi tumpuan kepada pembangunan kawasan-kawasan pulau sebagai destinasi pelancongan.

“Ini adalah termasuk Pulau Aman yang sememangnya sudah terkenal dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

“Selain Pulau Aman, Kerajaan Negeri juga melihat potensi pulau-pulau lain seperti Pulau Gedung yang kaya dengan tinggalan sejarah, Pulau Batu Payung, Pulau Kendi serta pulau-pulau kecil yang lain.

“Tambahan pula, Pulau Aman amat sesuai dijadikan sebagai pintu masuk yang menghubungkan beberapa pulau di sini kerana kita memerlukan kesalinghubungan di antara pulau-pulau ini untuk menjadikannya lebih mudah dikunjungi oleh pelancong,” jelasnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD