Program pertanian bandar manfaat komuniti dan isi rumah

PROGRAM pertanian komuniti atau juga dikenali sebagai pertanian bandar merupakan inisiatif penting untuk membantu isi rumah mengurangkan kos sara hidup di samping menikmati hasil tanaman yang sihat dan segar.

Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar & Kesihatan, DR. NORLELA ARIFFIN berkata bahawa di Pulau Pinang, program tersebut mendapat sambutan amat menggalakkan dengan penyertaan seramai 2,234 peserta sehingga Julai tahun ini.

“Kerajaan Negeri memang menggalakkan semua penduduk di negeri ini untuk memanfaatkan tanah-tanah terbiar dengan menjalankan aktiviti pertanian walaupun dalam skala kecil.

Kebun Komuniti yang dibangunkan oleh Kelab Wanita Permata Pulau Pinang.

“Ini kerana kita mahu setiap keluarga di negeri ini mempunyai tahap sara diri iaitu ada sumber bekalan makanan sendiri yang mencukupi di rumah yang mana secara tidak langsung dapat mengurangkan kos sara hidup mereka.

“Tambahan pula, program pertanian bandar adalah sangat mudah dijalankan dan hasilnya juga boleh dituai dalam tempoh yang agak singkat,” ujarnya kepada Buletin Mutiara ketika mengadakan lawatan ke salah satu projek pertanian komuniti dekat Seberang Jaya di sini pada 9 September lalu.

Turut hadir, Pengarah Pertanian Negeri Pulau Pinang, MOHD. MUHAIMIN IBRAHIM dan Pegawai Pertanian Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Mohd. Hafiz Jaafar.

Difahamkan, program tersebut dijalankan oleh Kelab Wanita Permata Pulau Pinang dekat perkarangan Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Perda seluas 2,000 kaki persegi.

Tambah Norlela, Kerajaan Negeri juga berhasrat mewujudkan aktiviti pertanian komuniti bagi memastikan pengeluaran bahan makanan di negeri ini adalah mencukupi, berkualiti serta selamat untuk dimakan.

“Selain itu, ia juga dapat mewujudkan interaksi sosial dan menggalakkan komunikasi dalam kalangan komuniti terutamanya golongan suri rumah serta boleh menjana lebih pendapatan.

Salah seorang sekarelawan sedang memetik hasil timun yang ditanam.

“(Dan) Jabatan Pertanian Negeri juga bersedia untuk memberikan tunjuk ajar dalam menjayakan projek ini sama ada secara komuniti, komersial mahupun individu sekiranya mereka memerlukan khidmat nasihat,” jelasnya.

Jelas beliau lagi, program pertanian bandar bukan hanya terhad kepada komuniti, sebaliknya turut boleh dijalankan secara individu termasuk mereka yang tinggal di bangunan tinggi seperti flat dan pangsapuri.

“Bagi mereka yang tinggal di kediaman bertingkat, Jabatan Pertanian (Negeri Pulau Pinang) ada menyediakan kit pertanian vertikal untuk membolehkan mereka menjalankan aktiviti pertanian di atas bumbung bangunan.

“Ini bermakna, mereka yang tinggal di rumah flat juga boleh menjalankan aktiviti pertanian menggunakan kit yang telah disediakan,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.

Dalam pada itu, Norlela turut mengumumkan bahawa Jabatan Pertanian Negeri Pulau Pinang bersetuju menyalurkan peruntukan tambahan berjumlah RM5,000 kepada Kelab Wanita Permata untuk meluaskan lagi kebun komuniti yang dijalankan tersebut.

“Pada peringkat permulaan, Jabatan Pertanian telah menyalurkan peruntukan RM5,000 berserta 500 unit polibeg, selain membantu membangunkan sistem fertigasi bagi membolehkan Kelab Wanita Permata memulakan projek ini.

Dr. Norlela Ariffin menunjukkan air asam jawa keluaran Kelab Wanita Permata Pulau Pinang.

“Justeru, peruntukan tambahan yang akan diberikan ini adalah bertujuan meluaskan lagi kebun sayuran yang sedia ada,” ulasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Muhaimin memberitahu bahawa sebanyak 124 projek pertanian bandar telah dijalankan di seluruh negeri pada tahun ini melalui peruntukan berjumlah RM1.49 juta termasuk RM70,000 yang disumbangkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

“Walaupun Kerajaan Negeri tidak menyalurkan peruntukan yang banyak untuk program ini, tetapi (Kerajaan Negeri) telah memberikan peruntukan besar kepada sektor pertanian lain seperti penanaman padi, sayur-sayuran, buah-buahan dan sebagainya,” jelasnya.

Sementara itu, Buletin Mutiara turut berkesempatan menemu bual Pengerusi Kelab Wanita Permata, ZAITUN MAT SAHAD, 50, untuk mengetahui lebih lanjut mengenai projek pertanian komuniti yang dijalankan.

Menurut beliau, seramai 13 peserta yang terdiri daripada ahli-ahli Kelab Wanita Permata telah menjalankan projek tersebut sejak Julai tahun ini dengan kerjasama anggota MPKK Bandar Perda.

“Pada mulanya, kami mahu menanam cili tetapi selepas mendapat nasihat daripada Jabatan Pertanian Negeri, maka kami buat keputusan untuk tanam dua jenis sayuran iaitu timun dan sawi.

Ahli-ahli Kelab Wanita Permata Pulau Pinang bergambar kenangan bersama-sama Norela dan Mohd. Muhaimin Ibrahim.

“Tanaman timun dan sawi lebih mudah kerana peluang untuk dijangkiti penyakit adalah minimum selain hasilnya boleh dituai dalam jangka masa yang singkat iaitu dalam tempoh sebulan sahaja,” ujarnya.

Zaitun menyatakan bahawa hasil tanaman yang dituai akan dijual kepada penduduk setempat selain restoran dan kedai makan berdekatan.

“Bagi tanaman sawi biasanya kita berjaya tuai kira-kira 3 kilogram (kg sehari manakala timun pula sekitar 50 hingga 70 kg.

“Memandangkan permintaan yang kami terima setakat ini sentiasa melebihi hasil yang dikeluarkan, maka kami merancang untuk meluaskan lagi kebun yang sedia ada ini.

“Hasil daripada jualan sayur-sayuran ini akan dikumpul untuk digunakan bagi kerja-kerja amal seperti membuka kelas jahitan, program meningkatkan kemahiran dan lain-lain selepas pandemik COVID-19 reda kelak,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS