SERI DELIMA – Seramai 28 peserta berjaya menamatkan cabaran penurunan berat badan selama 60 hari anjuran Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Sungai Gelugor dengan sokongan pejabat Pusat Khidmat ADUN Seri Delima bagi menggalakkan amalan gaya hidup sihat dalam kalangan penduduk.
Lebih membanggakan, peserta yang muncul juara berjaya menurunkan berat badan sebanyak 15.4 kilogram (kg) sepanjang tempoh cabaran tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Connie Tan Hooi Peng berkata bahawa program berkenaan pada awalnya disertai seramai 44 peserta, namun hanya 28 orang meneruskan cabaran dari hari pertama sehingga hari terakhir.
“Saya sangat gembira melihat perubahan yang ditunjukkan oleh para peserta. Bukan sahaja berat badan mereka berkurangan, malah mereka juga semakin sihat, aktif dan bersemangat untuk menjaga kesihatan diri.
“Apabila ditanya mengenai rahsia kejayaan, kebanyakan peserta berkongsi bahawa mereka mengamalkan aktiviti seperti mendaki, menjaga pemakanan dan memperbanyakkan pergerakan fizikal.
“Kejayaan program itu bukan sekadar diukur berdasarkan penurunan angka pada mesin penimbang, sebaliknya turut dilihat menerusi usaha menggalakkan masyarakat mengamalkan gaya hidup lebih sihat,” katanya menerusi satu hantaran di media sosial.

Sehubungan itu, Hooi Peng turut menzahirkan komitmennya untuk menganjurkan semula cabaran berkenaan pada tahun hadapan bagi memberikan peluang kepada lebih ramai penduduk menyertai inisiatif tersebut.
Malah, Hooi Peng turut mengumumkan hasrat untuk meningkatkan nilai hadiah sebanyak tiga kali ganda bagi edisi seterusnya sebagai dorongan kepada peserta untuk terus mengekalkan gaya hidup aktif.
Tambah Hooi Peng, terdapat peserta yang turut mencadangkan supaya cabaran akan datang dimulakan seawal Januari, menunjukkan sambutan positif terhadap program berkenaan.
“Menang atau kalah bukan perkara utama, yang penting, kita sudah mengambil langkah pertama ke arah kehidupan yang lebih sihat.
“Ini hanyalah permulaan, jadi teruskan usaha, kekalkan semangat dan jadikan gaya hidup sihat sebagai amalan sepanjang hayat,” katanya.
Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : PEJABAT ADUN