Rancang perluas pasaran, Kek Lapis Karliesya fokus pensijilan halal

f3eb235c 74a1 44c4 ae20 6eeac5ba75bd

BERMULA dengan menerima tempahan kecil-kecilan dari rumah hingga memiliki kedai sendiri, perjalanan NUR KARTINIE ZAIDIL, 30, dalam mengusahakan Kek Lapis Karliesya membuktikan bahawa modal terhad bukan penghalang untuk mengembangkan perniagaan.

Minat berniaga yang pada awalnya sekadar mengisi masa lapang sambil menguruskan keluarga kini berkembang menjadi sumber pendapatan, malah membuka peluang kepada golongan suri rumah dan ejen untuk turut menjana pendapatan menerusi penjualan produk berkenaan.

Menurut Nur Kartinie, beliau yang berasal dari Kuching, Sarawak, mula menghasilkan kek lapis pada 2017 selepas berpindah ke Pulau Pinang untuk mengikuti suaminya yang bekerja di negeri ini.

4c597061 bbea 4895 affb 6e1aa859c0a9
NUR Kartinie.

“Pada mulanya, saya hanya suri rumah yang mahu membantu menambah pendapatan keluarga sambil menjaga anak.

“Saya bermula dengan modal RM250 untuk membeli sebuah ketuhar kecil berkapasiti 18 liter, pengadun tangan dan bahan mentah.

“Ketika itu, saya hanya menerima tempahan secara ‘open order’ sebelum mula menjual produk di pasar malam, antaranya di Sungai Ara dan Perda,” katanya ketika ditemu bual oleh wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL, bersama-sama jurugambar, NOOR SITI NABILAH NOORAZIS.

Tambah Nur Kartinie, perniagaan tersebut pada awalnya dijalankan secara sambilan sebelum terhenti seketika ketika pandemik COVID-19 dan selepas beliau melahirkan anak kedua.

807afdd4 c5ad 438b a5a7 0e60a82ec43d 860238b9 eab4 4acc 829c 8c664d351a66
Walau bagaimanapun, beliau kembali aktif mengembangkan perniagaan antara 2023 hingga 2025 dengan memperluas jaringan pelanggan, menerima tempahan secara konsisten dan melantik ejen bagi membantu memasarkan produknya.

“Apabila melihat perniagaan ini semakin berkembang, saya mula berfikir untuk memberikan tumpuan sepenuhnya sebagai usahawan.

“Saya juga mahu produk ini bukan sahaja membantu keluarga sendiri, malah membuka peluang kepada orang lain untuk menambah pendapatan.

“Antaranya, saya bekerjasama dengan pelajar Universiti Sains Malaysia (USM) yang menganjurkan jualan produk tempatan yang mana saya membekalkan stok untuk dijual dan mengambil semula lebihan produk.

“Selain itu, suri rumah juga boleh mendapatkan stok untuk dijual mengikut kemampuan masing-masing,” jelasnya.

Usaha Nur Kartinie kini membuahkan hasil apabila beliau mempunyai kira-kira 20 ejen, termasuk suri rumah, pelajar dan peniaga. Beliau juga mula mengendalikan kedai sendiri di premis di bawah seliaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) sejak kira-kira setahun lalu, dengan kadar sewa RM150 sebulan.

Dalam pada itu, Nur Kartinie turut memanfaatkan pelbagai bentuk sokongan agensi bagi mengembangkan perniagaan, termasuk geran menerusi SME Corp. Malaysia, bantuan peralatan dan peluang menyertai program keusahawanan.

Dari segi produk, beliau berkata, Kek Lapis Karliesya kini menawarkan kira-kira 40 pilihan perisa berbanding ketika mula berniaga, dengan setiap resipi dihasilkan sendiri berdasarkan permintaan pelanggan dan trend semasa.

“Saya mahu kek lapis Sarawak bukan sahaja dikenali dalam kalangan golongan berusia, malah turut menarik minat pelanggan muda.

“Oleh itu, saya menghasilkan perisa seperti matcha, Oreo, keju dan tiramisu, selain mencuba kelainan seperti kek lapis tart nanas.

“Namun, perisa masam manis dan gula apong yang sinonim dengan Sarawak masih menjadi antara pilihan utama pelanggan,” tambahnya.

9d8e4f81 5e9c 429c 948b a994a8f0f73d 05a67d92 042c 40fa 870e cc209cfe1cec

Menurut Nur Kartinie, harga produk berbeza mengikut perisa, bermula daripada RM15. Tempahan turut dibuka untuk jamuan, cenderahati (goodies) dan pelbagai majlis, dengan pilihan pembungkusan yang bersesuaian.

Selain jualan di kedai dan acara, tempahan pelanggan turut diuruskan melalui WhatsApp, manakala perkhidmatan penghantaran seperti Lalamove digunakan untuk penghantaran di sekitar Pulau Pinang.

Beliau turut berkata, permintaan meningkat menjelang musim perayaan apabila ejen membantu mendapatkan tempahan, dengan jumlah jualan mampu mencecah 200 unit.

Mengulas cabaran menguruskan perniagaan, Nur Kartinie berkata, pembukaan kedai sendiri memerlukan komitmen lebih besar berbanding berniaga dari rumah, khususnya untuk menampung kos sewa premis, gaji pekerja dan perbelanjaan operasi.

“Apabila sudah mempunyai kedai dan pekerja, saya perlu memastikan jualan sentiasa berjalan kerana komitmen bulanan tetap perlu dibayar.

“Saya masih belajar menguruskan perniagaan dengan lebih baik dan banyak menyertai kursus serta bengkel berkaitan keusahawanan dan kewangan.

“Buat masa ini, saya mahu memastikan operasi sedia ada benar-benar stabil sebelum memikirkan rancangan untuk membuka cawangan lain,” katanya.

Dalam pada itu, Nur Kartinie kini dalam proses mendapatkan pensijilan halal bagi memperluas pasaran Kek Lapis Karliesya, termasuk meneroka peluang memasarkan produk di pasar raya dan premis perniagaan yang mensyaratkan pensijilan halal.

f6b997fb a901 47cf 8faa c9ba31245ad7 de57113a 1ac1 4aa8 a2e7 eb25d721c0db 675f5f54 0011 4415 8ab0 d9ff4c0e4632 09fde958 413e 4dc3 8d01 430890d7a6e0 87cf4a86 3438 46d5 93f0 94a836b3e7b7 dc17939c 4307 45fb bd74 e9dc1d060180

Menurut beliau, proses tersebut memerlukan penelitian terhadap lebih 50 jenis bahan yang digunakan dalam penghasilan produk, termasuk pengesahan status halal bahan daripada pembekal.

“Saya berharap apabila memperoleh pensijilan halal nanti, produk ini dapat pergi lebih jauh dan dikenali di seluruh negara.

“Saya juga berharap kek lapis Sarawak mendapat tempat yang lebih luas dalam pasaran, bukan hanya ketika musim perayaan,” katanya mengakhiri sesi wawancara.