Cadang jalan alternatif selesai isu kenderaan berat jalan Tmn. Inderawasih

PERAI – Isu kenderaan berat menggunakan jalan Taman Inderawasih hingga membahayakan komuniti setempat khususnya murid yang bersekolah di sini akhirnya dirujuk kepada Timbalan Ketua Menteri II, Prof. Dr. P. Ramasamy.

Ramasamy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai meminta syor membina satu jalan alternatif di persisiran pantai dan pintasan ke Kawasan Perindustrian Perai dekat kilang Malayawata Steel Berhad dipertimbang semua pihak pemilik lori kontena yang menggunakan laluan sedia ada di sini.

“Sebelum apa-apa yang tidak diingini berlaku di jalan ini (Taman Inderawasih), elok semua pihak dipanggil berbincang sekarang.

“Pengadang kenderaan berat akan dipasang di jalan masuk dan keluar Taman Inderawasih supaya tiada lagi lori kontena boleh menggunakan jalan ini pada waktu yang tidak dibenarkan, seperti masa pelajar pergi dan pulang dari sekolah-sekolah sekitar kawasan.

“Dalam tempoh tiga bulan ini, saya berharap konsultan yang akan dilantik dapat mengemukakan hasil kajian mereka supaya jalan di sini (Taman Inderawasih) tidak lagi berbahaya untuk penduduk setempat,” jelas Ramasamy yang juga Exco Perancangan Ekonomi Negeri, Pendidikan & Sumber Manusia, Sains, Teknologi dan Inovasi, baru-baru ini.

Dua Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), P. David Marshel dan M. Satees serta Mohamad Hazrul Hassan (Penolong Pengarah di Jabatan Kejuruteraan MPSP) turut menyertai lawatan kerja tersebut.

Hadir sama, Pengurus KTM Butterworth, Ahmad Hishammuddin Mohd. Rashid, K. Gopal (Penolong Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah bagi Jabatan Kerja Raya, JKR) dan Mohd. Fairuz Abdul Wahab (Penolong Jurutera Daerah Seberang Perai Tengah bagi Jabatan Pengairan dan Saliran, JPS).

Difahamkan, hampir 100 lori kontena milik syarikat perusahaan dan pengangkutan menggunakan jalan Taman Inderawasih ke satu depo sementara di sini, kini.