Landasan keretapi lama Bukit Bendera dibuka semula

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT BENDERA – Landasan keretapi lama  berusia hampir 120 tahun sepanjang 850 meter dari bawah ke bahagian tengah Bukit Berdera kini siap  dipulihara dan bersedia untuk menjadi satu lagi tarikan pelancong ke negeri ini.

Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari  dalam ucapannya berharap, pembukaan semula landasan itu sekaligus diharap memberi manfaat kepada komuniti setempat.

“Selain mengelak daripada aktiviti sibuk,  landasan (keretapi) ini boleh dijadikan laluan alternatif semasa kecemasan atau sewaktu (operasi) kereta kabel tergendala,” ujarnya yang juga Ketua Pengarah Eksekutif Penang Institute (PI) pada Majlis Perasmian Pembukaan Semula Landasan Keretapi Lama Bukit Bendera di sini baru-baru ini.

Pengarah Perbadanan Bukit Bendera (PHC),  Datuk Lee Kah Choon dan pengurus besarnya, Dr. Lawrence Khoo turut hadir pada majlis keraian
tersebut.

 Zairil memberitahu, Ketua Menteri, Y.A.B.  Tuan Lim Guan Eng beberapa bulan lepas mengumumkan hasrat untuk memulihara warisan  sejarah tersebut.

Berbekalkan peruntukan kira-kira RM400,000,  katanya lagi, kerja-kerja memulihara tinggalan sejarah tersebut berjaya disiapkan dalam tempoh tiga bulan.

Landasan keretapi dibina dalam era kolonialisme  British pada tahun 1897 merupakan pengangkutan utama membawa penduduk serta hasil pertanian  hingga ke puncak Bukit Bendera.