Cadang pasang lampu isyarat elak kemalangan – ahli majlis

TANJUNG BUNGAH – Khuatir dengan keselamatan para pengguna jalan raya di persimpangan empat Masjid Terapung Tanjung Bungah di sini, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bakal mendapatkan kerjasama serta pandangan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung cadangan pemasangan lampu isyarat di kawasan berkaitan.

Ahli Majlis MBPP, Chris Lee Chun Kit ketika meninjau keadaan lalulintas di kawasan tersebut berkata, langkah tersebut dilihat dapat membantu menggelakkan kemalangan yang didakwa kerap berlaku terutamanya pada waktu puncak.

“Dalam tempoh dua tahun setengah, terdapat lebih 10 kemalangan dilaporkan di kawasan ini dan yang terbaru adalah pada Disember tahun lalu yang mana ia (kemalangan) telah meragut nyawa seorang penunggang motosikal berusia 22 tahun.

“Memandangkan jalan ini adalah di bawah bidang kuasa JKR, maka kita (MBPP) akan meminta pandangan dan kerjasama mereka bagi menangani isu berbangkit ini,” katanya pada sidang media di lokasi berkaitan di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Terapung Tanjung Bungah, Roslan Abu Bakar dan Naib Pengerusinya, Ahmad Faziel Shamsudin.

Menurut Roslan, masjid tersebut merupakan salah satu tarikan pelancong dan mempunyai purata kira-kira 300 pengunjung setiap hari.

“Diharap pihak berwajib dapat memasang lampu isyarat di sini dengan secepat mungkin demi keselamatan orang ramai.

“Selain itu, adalah diharapkan supaya tanda isyarat lalulintas seperti pusingan balik, lintasan pejalan kaki, peringatan had laju, zon kemalangan dan jalur memperlahankan kenderaan di persimpangan juga akan dilaksanakan,” ujar beliau.